Fizz Fairuz scam DBKL tender contract Datuk Seri
ACP Beh Eng Lai

KUALA LUMPUR – Tiga lelaki tempatan yang terlibat dalam pembakaran mercun secara terbuka dan melontarkan ke arah polis yang bertugas membuat rondaan dan pemantauan di Sentul baru-baru ini telah ditahan.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, tangkapan itu dibuat sekitar jam 9 malam semalam ketika pasukan polis Sentul melakukan rondaan dan pemantauan pembakaran mercun di kawasan Pangsapuri Sri Perak.

Semasa rondaan itu, polis berjaya menangkap tiga lelaki yang sedang bermain mercun berbentuk bola di Tingkat 11, Blok 33 pangsapuri tersebut.

“Mereka menyalakan sumbu mercun dan membalingnya ke bawah sebelum ia meletup dan susulan kejadian itu, tiga tangkapan dibuat membabitkan penduduk berusia 44 tahun, 12 tahun dan 13 tahun.

“Dalam tangkapan itu polis turut merampas sebanyak 48 butir mercun bola daripada sebuah beg silang yang dipakai oleh remaja berusia 13 tahun.

“Susulan tangkapan itu, dua jam kemudian iaitu pukul 11.00 malam Polis Sentul telah menyerbu sebuah premis di Blok 39 dalam pangsapuri yang sama dan menangkap seorang lelaki tempatan berusia 58 tahun kerana didapati menjual mercun tanpa lesen yang sah,” katanya menerusi kenyataan mengenai perkembangan terkini insiden itu petang ini.

Artikel berkaitan: Polis dilontar mercun ketika suraikan 200 penduduk pangsapuri

Tambab beliau, polis merampas sebanyak 130 biji mercun bola dan pelbagai bunga api telah dirampas daripada suspek keempat.

Menurutnya, siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 3(5) Akta Kesalahan Kecil 1955 ke atas 3 tangkapan pertama kerana kesalahan membakar mercun yang dilarang.

Siasatan juga dijalankan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1958 ke atas tangkapan lelaki tempatan berusia 58 tahun itu kerana memiliki atau menjual mercun yang dilarang.

“Kesemua tangkapan juga disiasat bersabit kes lontaran mercun ke atas anggota polis. Setakat ini pihak polis tidak menemui keterangan untuk mengaitkan pembabitan mereka dalam kes tersebut maka kesemua tangkapan telah dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

“Polis Kuala Lumpur menasihati orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan bersama-sama menjaga kesejahteraan serta keharmonian di Kuala Lumpur.

“Tindakan tegas berlandaskan undang-undang yang sedia ada akan diambil terhadap individu-individu yang melanggar undang-undang ini,” tegasnya.