Erling Haaland

LONDON – Erling Haaland masih lagi menjadi pemain utama pasukan Borussia Dortmund bagi meneruskan aksi musim depan.

Pemain antarabangsa Norway itu dikaitkan dengan beberapa kelab utama menjelang jendela perpindahan musim panas ini.

Manchester United, Manchester City, Chelsea, Bayern Munich, Real Madrid dan Barcelona antara pasukan yang dikatakan berminat mendapatkan khidmat pemain berusia 20 tahun itu.

Namun, Dortmund semakin yakin dapat mengekalkan aset berharga mereka bagi kempen musim akan datang.

Mereka pada mulanya merancang untuk mengekalkan Haaland sehingga musim panas 2022 apabila klausa pembelian dalam kontraknya membolehkannya dijual sekitar £66 juta (RM383.9 juta).

Ketua Pegawai Ekskutif Dortmund, Hans-Joachim Watzke menyatakan bahawa pasukan tidak mempunyai perancangan untuk itu.

“Saya sudah mempunyai perancangan yang jelas bahawa Erling Haaland akan terus beraksi bersama kami musim depan,” kata Watzke.

“Saya tidak mahu menghabiskan masa dengan perbincangan atau apa-apa saja.

“Saya rasa mereka (kelab luar) tahu tentang situasi kontrak dan juga keinginan kami.

“Saya benar-benar bertenang. Tiada siapa yang mempercayai kami dengan Jadon Sancho musim panas lalu sehingga tempoh akhir tamat dan dia masih lagi bersama kami,” katanya.

Ejen Haaland, Mino Raiola, dikhabarkan bertemu dengan pegawai dari Madrid dan Barcelona bulan lalu. – MalaysiaGazette