Mohamad Sabu
Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (PAN) menentang usaha Malaysia yang diketuai Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yasin untuk mewujudkan dua negara Palestin dan Israel.

Sebaliknya, PAN mahu semua rakyat Palestin yang diusir kembali ke kampung halaman di bumi Palestin dan tidak ada nama kerajaan Israel di sana, kata Presidennya Mohamad Sabu.

Beliau berkata, PAN mengiktiraf satu negara Palestin yang didiami oleh berbagai kaum dan agama.

“Hak rakyat Palestin untuk kembali ke tanah air mereka bukan berusaha wujudkan dua negara. Jika dua negara bermakna kita mengiktiraf wujudnya negara Zionis Israel,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu Mohamad mendakwa, Muhyiddin telah membuat perutusan khas berkait konflik di antara Palestin dengan Israel dan menyeru supaya disegerakan diwujudkan dua negara, ‘two state solution‘, iaitu negara Palestin dan negara Israel sebagai solusi kepada konflik yang sedang berlaku.

Kenyataan Perdana Menteri itu katanya, sekaligus meletakkan Malaysia telah mengiktiraf kewujudan negara haram Israel.

“Sepatutnya kita berusaha menyokong hak rakyat Palestin untuk kembali ke tanah air mereka “The right to return.”

“Apabila rakyat Palestin dapat kembali ke negara mereka termasuk di bumi yang dipanggil Israel pada hari ini, mereka berhak menubuhkan kerajaan yang mereka mahu.

“Jika majoriti memilih pemimpin beragama Islam, maka bumi tersebut dipimpin oleh orang Islam. Kalau majoriti memilih kaum Yahudi, maka mereka boleh juga menjadi pemimpin di situ,” ujarnya.

Mohamad berkata, apa yang penting adalah berikan hak kepada rakyat Palestin yang diusir dari tanah air mereka sejak tahun 1948 untuk kembali ke Palestin dan ia perlu disegerakan, bukannya mengiktiraf kewujudan negara haram Israel.

“Manakala, orang orang Yahudi asal yang berada di bumi Palestin sejak sekian lama, boleh terus berada di situ.

“Mereka yang baru datang ke Palestin selepas wujudnya kerajaan Israel 1948, mereka boleh memilih untuk berada di Palestin atau kembali ke negara asal mereka terutama di Eropah,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast