Lelaki warga Bangladesh maut terlibat dalam kemalangan di Jalan Lunas- Padang Serai semalam.

KULIM –  Seorang lelaki warga Bangladesh maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta di Jalan Lunas-Padang Serai di sini semalam.

Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, mangsa Mohammad Samim Reza,31, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Dearah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, hasil siasatan mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC135 itu dalam perjalanan dari Lunas.

Katanya, apabila sampai di tempat kemalangan mangsa dipercayai mengelak seekor anjing yang melintas sebelum hilang kawalan dan terjatuh.

“Susulan itu, sebuah kereta yang turut datang dari arah yang sama tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa.

“Akibat pelanggaran itu, motosikal mangsa telah tercampak di dalam longkang manakala mangsa pula diheret kereta yang dipandu seorang wanita berusia 46 tahun lebih kurang 70 meter,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Azhar, mangsa yang mengalami kecederaan teruk disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kulim untuk dibedah siasat.

“Siasatan lanjut berhubung kejadian itu sedang dijalankan  dan kita minta saksi yang melihat kejadian tampil bagi bantu siasatan,” kata beliau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette