Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sebuah kedai emas dalam pasar raya di Jalan Gombak yang disamun tiga penjenayah bersenjatakan parang dan kapak kerugian lebih RM300,000.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan termasuk kerugian yang dialami berdasarkan kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian.

Tambah beliau, kesemua suspek samun sedang diburu polis.

“Setakat ini masih belum ada tangkapan suspek, mereka sedang diburu polis,” katanya dalam kenyataan.

Dalam kejadian jam 5 petang semalam, tiga lelaki bersenjatakan parang, tukul besi dan kapak menyerbu kedai emas itu yang beroperasi di dalam sebuah pasar raya di sini.

Ketika disamun, tiada pelanggan yang berada di dalam premis itu.

Dua suspek masuk ke dalam premis manakala seorang lagi menunggu di luar premis itu.

“Suspek memecahkan cermin ruang pameran kedai emas dan melarikan pelbagai barang kemas berharga dengan menaiki motosikal,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkawan tanpa senjata api. – MalaysiaGazette