KUANTAN – Tiada istilah pilih bulu bagi memastikan perlaksanaan prosedur operasi standard (SOP)  membendung penularan Covid-19 dipatuhi termasuk kepada penjawat awam sendiri.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, pihaknya sentiasa menunaikan amanah yang digalas dalam memastikan keselamatan orang awam.

Ia dibuktikan dalam satu operasi pemantauan mengejut yang dilakukan oleh kumpulan pemantau daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di premis pejabat di Kompleks Tun Abdul Razak hari ini di mana seorang penjawat awam telah dikenakan tindakan.

Mohamad Noor Yusof Ali.

Penjawat awam berkenaan dikenakan kompaun sebanyak RM2,000 kerana didapati tidak mendaftar aplikasi MySejahtera dengan memberikan alasan bercuti tetapi hadir ke pejabat.

“Kalau bercuti duduk rumah, alasan hadir ke pejabat tidak mendaftar MySejahtera kerana bercuti dan cuma hadir ke pejabat dan buat kerja, itu bukan alasan,” ulas Mohamad Noor ketika ditemui hari ini.

Menurut beliau, tindakan segelintir pihak yang tidak mematuhi SOP akan memudaratkan masyarakat akibat  sikap kecuaian dan sikap tidak peduli.

“Kita buat buat pemantauan bukan nak tunjuk kuasa tapi SOP yang dibuat kepada semua termasuk polis pun tidak terkecuali,” katanya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN :

Dua kes postif Covid-19, Terminal Sentral Kuantan ditutup sementara

Jelas Mohamad Noor, sebagai kakitangan awam seseorang itu harus menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat dan bukan melanggar peraturan.

“Kita penjawat awam, kakitangan kerajaan seharusnya menunjukkan contoh yang terbaik sama ada peringkat negeri atau perseketuan, kita ada pekeliling, arahan ketua jabatan dan semua.

“Meninjau dan memantau perjabat kerajaan dan swasta bagi memastikan SOP dipatuhi selain daripada memantau restoran atau pusat beli belah sahaja,” katanya.

Mohamad Noor menegaskan, mengamalkan norma baharu setiap masa dengan penggunaan penyukat suhu, mendaftar aplikasi MySejahtera, memakai pelitup muka dan penjarakan fikizal dalam ruang pejabat juga perlu diberi keutamaan.

“Nasihat terus diberikan dan kita semua sedar angka postif setiap hari mencecah tiga angka. Maklumat dan arahan yang kita terima dan buat pemantauan semua, jika ada pelanggaran tindakan dan kompaun akan diambil tidak kira siapa,” katanya lagi – MalaysiaGazette