Kenderaan yang dipercayai membawa ahli keluarga Neelofa keluar dari IPD Brickfields selepas hadir untuk memberi keterangan berhubung dakwaan pelanggaran SOP pada Hari Raya Aidilfitri di Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 18 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Kenderaan pelbagai guna (MPV) dipercayai membawa ahli keluarga selebriti popular, Neelofa dilihat keluar dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di sini hari ini.

Toyota Vellfire berwarna putih itu dilihat memasuki pintu pagar utama pada pukul 2.51 petang dan keluar kira-kira dua jam kemudian pada pukul 5 petang.

Difahamkan ahli keluarga selebriti terkenal tanah air itu hadir bagi memberi keterangan berhubung dakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Aidilfitri baru-baru ini.

Petugas media menunggu hampir tiga jam untuk mendapatkan perkembangan juga tidak berhasil ekoran kenderaan yang membawa keluarga itu terus memecut laju meninggalkan kawasan IPD.

Kenderaan yang dipercayai membawa ahli keluarga Neelofa keluar dari IPD Brickfields selepas hadir untuk memberi keterangan berhubung dakwaan pelanggaran SOP pada Hari Raya Aidilfitri di Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 18 MEI 2021.

Jadi tidak dapat dipastikan sama ada ibu bapa atau adik-beradik selebriti berkenaan yang hadir untuk dirakam keterangan.

Terdahulu, selebriti popular, Noor Neelofa Mohd Noor sekali lagi disiasat polis kerana didakwa ingkar arahan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada sambutan Aidilfitri bersama keluarganya.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, pihaknya menerima satu laporan semalam kira-kira pukul 10.25 malam membabitkan keluarga selebriti berkenaan yang merakam detik sambutan raya pada 1 Syawal di sebuah rumah di Pinggir Zaaba, Taman Tun Dr. Ismail.

“Video tersebut memaparkan ahli keluarga mereka didapati berkumpul dalam sebuah rumah semasa sambutan 1 Syawal dan telah dikongsi oleh netizen menerusi laman Twitter.

“Kes masih dalam siasatan pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Anuar, kes itu akan disiasat di bawah Peraturan 17 P.U (A) 225/2021. – MalaysiaGazette