Benih belut seberat 150 kilogram yang cuba dieksport ke Hong Kong tanpa permit menerusi Kargo KLIA Sepang berjaya ditahan dan dipatahkan MAQIS Selangor Isnin lalu. Gambar Ihsan MAQIS Selangor.

SEPANG – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis)
merampas 150 kilogram benih belut jenis Anguilla bicolor bernilai RM61,612.50 yang
cuba dieksport ke negara Hong Kong melalui pintu keluar negara Kargo KLIA pada Isnin
lalu.

Pengarah MAQIS Negeri Selangor, Zamri Hashim berkata, rampasan itu dilakukan ketika pasukan Penguatkuasanya menjalankan operasi di gudang kawasan Kargo KLIA sebelum benih belut itu dieksport pada jam 9 pagi pada hari kejadian.

“Barang dagangan tersebut didapati tidak mempunyai Permit Eksport Maqis dan Sijil Kesihatan Perikanan yang dikemukakan pula palsu,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, mengeksport dagangan hasil perikanan tanpa mempunyai Permit Eksport merupakan kesalahan di bawah Seksyen 11 (2), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh didenda tidak melebihi satu ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

Ujarnya, Maqis sentiasa memandang serius penguatkuasaan di semua pintu masuk negara bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan serta jaminan keselamatan makanan negara terpelihara.

“Langkah proaktif ini adalah bagi menjamin keluaran pertanian yang masuk ke dalam negara mematuhi syarat serta peraturan ditetapkan oleh kerajaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette