Ketua Polis Daerah Kuantan menunjukkan hasil rampasan mesin bitcoin

KUANTAN – Aktiviti sekumpulan lelaki  memunggah sebanyak 66 peralatan mesin bitcoin ke dalam lori disedari peronda polis di Sungai Karang di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, sepasukan anggota melakukan rondaan cegah jenayah ketika musim Covid-19 pukul 3 pagi terserempak dengan sekumpulan lelaki berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

Hasil pemeriksaan mendapati kesemua suspek sedang mengangkat peralatan mesin bitcoin ke dalam lori itu mempunyai rekod lampau dalam jenayah dan narkotik.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali (tengah) dalam sidang media oleh IPD Kuantan hari ini.

“Polis telah menahan enam lelaki India dan seorang lelaki Cina yang disyaki terlibat dengan kegiatan pecah bangunan dan mencuri peralatan mesin bitcoin.

“Kesemua suspek berusia 22 hingga 37 tahun berasal dari Kuantan, tidak mempunya pekerjaan tetap telah melakukan kesalahan di bawah peraturan 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit kerana berkumpul di tempat awam turut dikompaun RM2,000 setiap seorang.

“Hasil rampasan termasuk sebuah lori untuk mengangkut peralatan, sebuah motokar Proton Wira, sebanyak 66 buah mesin bitcoin bernilai RM50,000 dan peralatan pecah rumah.

“Polis juga mendapati suspek memecah masuk bangunan yang dijadikan tempat melombong bitcoin dan mencuri peralatan bitcoin.” Jelas Mohamad Noor dalam sidang media di Bilik Anggerik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan hari ini.

 

Pihak polis berjaya menemui peralatan pecah rumah yang digunakan oleh suspek.Kes disiasat Seksyen 457 Kanun keseksaan dan boleh dikenakan hukuman penjara 14 tahun dan denda atau boleh dikenakan sebatan.

Manakala kesalahan memiliki peralatan pecah rumah di bawah Seksyen 28(1)(i) Akta Kesalahan Kecil 1955 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum enam bulan penjara atau denda.

66 mesin bitcoin dirampas

Kesemua tangkapan telah ditahan dan direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah sehingga 22 Mei 2021.- MalaysiaGazette