Foto hiasan

KUCHING – Seramai tujuh pekerja sektor minyak dan gas di Miri merupakan antara 512 kes baharu jangkitan COVID-19 di Sarawak dengan 353 kes telah dikesan di Daerah Miri, Bintulu, Sibu, Kapit dan Kuching, menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 39,328 kes.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan kesemua tujuh pekerja itu  dikesan positif  hari ini semasa sedang menjalani kuarantin di “Offshore Transit Centre” (OTC) sebelum dibenarkan melapor diri di pelantar.

“Kes masih dalam siasatan dan semua kontak rapat akan dikenal pasti untuk menjalani saringan serta kuarantin,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, JPBN memaklumkan sebanyak 10 lokaliti dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selepas terdapat penularan wabak COVID-19 yang tinggi di kawasan terbabit.

PKPD di Blok C dan D, Kuarters Pekerja Shin Yang, Kemena Industrial Estate; Blok O Flat Sungai Plan, Bintulu dan Rh. Ado anak Bilong, Sungai Kakus, Tatau dilaksanakan sejak Sabtu lepas hingga 28 Mei ini.

PKPD di Blok F dan O PPR Bandaria Park, Bintulu dilaksana Ahad lepas hingga 29 Mei ini manakala PKPD Rh. Roselind Sanggau anak Ragai, Sungai Lanying, Sebauh dan Rh. Ason anak Kendawang, Bukit Sekubong, Sebauh  bermula semalam hingga 31 Mei ini.

Selain itu, PKPD di Rh. Anau, Entebu, Krian dan Rh. Daniel, Kawit Bunsi, Krian bermula hari ini hingga 31 Mei sementara PKPD di Rh. Bantan, Sg Langit, Betong; Rh. Empaling, Jelang, Betong dan Kampung Hulu, Spaoh, Betong akan bermula esok hingga 1 Jun.

Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak juga telah mengisytiharkan dua kluster baharu iaitu Kluster Hulu Spaoh dan Kluster Jelang di Daerah Betong.

Jumlah kluster yang masih aktif adalah sebanyak 84 kluster dengan 12 kluster telah merekodkan 77 penambahan kes baharu manakala 72 kluster tidak merekodkan penambahan kes.

Terdapat lima kes kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 menjadikan jumlah kematian meningkat kepada 230 orang.

— BERNAMA