Bayi lelaki bertali pusat ditemui dalam beg plastik hitam di atas meja sebuah rumah milik warga asing di Kampung Sungai Kayu Ara awal pagi tadi.

PETALING JAYA – Seorang bayi lelaki yang baru lahir dan masih bertali pusat ditemui dalam beg plastik hitam di atas meja belakang di rumah seorang lelaki warga asing di Kampung Sungai Kayu Ara, dekat sini pagi tadi.

Bayi itu ditemui oleh seorang penduduk selepas terdengar tangisan bayi berkenaan lebih kurang 4.50 pagi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya telah bergegas ke lokasi kejadian sekitar jam 5.10 pagi dan mendapati bayi itu telah dihurung semut.

Menurutnya, bayi itu disyaki bukan dari kawasan perumahan tersebut kerana tiada penduduk perempuan yang sedang mengandung.

Bayi itu kini telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mohamad Fakhrudin meminta mana-mana individu yang melihat atau mempunyai maklumat tentang kejadian ini, tampil memberikan kerjasama di balai polis berdekatan atau berhubung terus dengan Inspektor Adam Firdauz Ahmad di talian 012-7565464 atau bilik gerakan IPD Petaling Jaya 03-79662176. – MalaysiaGazette