Joynal Abadin pekerja kedai menjual kereta terpakai warga Bangladesh sedang diburu polis di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh rakan senegara dan melarikan diri dalam kejadian di Bandar Baru Klang awal Mei ini.

KLANG РPolis sedang mempergiatkan pemburuan seorang lelaki warga Bangladesh yang  disyaki terlibat dalam kematian rakan senegaranya di Bandar Baru Klang awal Mei ini.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, dalam kejadian pada 8 Mei lalu, kedua-dua mereka terlibat dalam pergaduhan.

Katanya, kejadian berlaku sekitar jam 2 petang di sebuah kedai menjual kereta terpakai di Bandar Baru Klang.

“Dalam kejadian tersebut, pergaduhan itu disyaki bertambah teruk sebelum salah seorang daripada mangsa berusia 31 tahun telah mati disyaki telah dipukul rakannya menggunakan senjata di bahagian kepala.

“Pada masa yang sama seorang lagi suspek (rakan gaduh mangsa) turut mendapat kecederaan torehan pisau 21 sentimeter di tangan sebelah kiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Nurulhuda, selepas menyedari rakan senegaranya sudah meninggal dunia akibat pergaduhan itu, suspek melarikan diri elak dicekup polis.

Katanya suspek juga sempat pergi ke klinik kawasan berhampiran dan mendapatkan rawatan sebelum menghilangkan diri.

“Sehubungan itu, polis kini telah mempergiatkan usaha memburu suspek berkenaan,” ujanya.

Orang ramai sekiranya mempunyai maklumat berkenaan suspek berkenaan boleh menghubungi IPD Klang Utara di talian 03-3291 2222 atau pegawai penyiasat Asisten Superintendan You Swee Leong di talian 012 4071452 atau tampil terus ke mana-mana balai polis berhampiran dan membantu siasatan polis untuk menangkap suspek.

Menurut sumber,  polis percaya sekiranya suspek berjaya ditangkap dapat menyelesaikan kes bunuh ini yang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Identiti suspek adalah dikenali sebagai Joynal Abadin nombor pasport BT0663193 berumur 40-an dan warga Bangladesh,” katanya.

Dalam pada itu, menurut polis suspek mempunyai kecederaan ditoreh di lengan tangan kiri.

Siasatan awal mendapati kedua-dua individu itu bekerja di kedai kereta terpakai itu dan juga tinggal di majikan berkenaan.

“Maklumat awal siasatan juga mereka bergaduh dalam bahasa Urdu (bahasa kebangsaan Bangladesh) dan tidak menolak kemungkinan melibatkan soal kerja.

“Si mati telah bekerja di majikan tersebut selama dua tahun manakala suspek yang masih bebas sudah bekerja selama lebih 10 tahun,” kata sumber. -MalaysiaGazette