LONDON – Liverpool melonjak ke tangga keempat carta Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menewaskan Burnley 3-0 dalam aksi domestik awal pagi tadi.

Ia sekaligus mencerahkan peluang kelab itu untuk kempen Liga Juara-Juara Eropah musim 2021/2022.

Bagaimanapun anak buah Jurgen Klopp perlu berentap aksi terakhir penutup tirai EPL musim ini menentang Crystal Palace untuk mengesahkan kelayakan ke Liga Juara-Juara musim hadapan.

Leicester City akan menentang Tottenham Hotspurs dan perlu menang untuk mengenepikan Liverpool dan merembat peluang liga Eropah musim depan.

Roberto Firmino memecahkan kekebalan pertahanan tuan rumah Burnley pada minit ke-43 sebelum separuh masa pertama ditangguh dua minit kemudian.

Pasukan pelawat itu terus beraksi dengan penuh semangat sehingga memberi masalah kepada Burnley sebelum membuka jaringan kedua pada minit ke-52 menerusi Philips.

Alex Oxlade-Chamberlain kemudian mengesahkan tiga mata penting itu dengan membuka gol ketiga pada minit ke-88 sebelum wisel penamat ditiup.

Liverpool dan Leicester memungut mata yang sama iaitu 66 mata selepas 37 perlawanan cuma dibezakan dengan jumlah jaringan gol.

Leicester masih berpeluang mengenepikan Liverpool sekiranya menang dengan jaringan gol banyak ke atas Spurs di King Power Stadium dalam aksi terakhir EPL Ahad ini nanti.-MalaysiaGazette