Nancy Shukri

KUALA LUMPUR – Sumber asal kontak Covid-19 yang berkaitan dengan kes pelancong yang pulang dari Genting Highlands masih belum dapat dikenal pasti dan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menjalankan proses siasatan.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yang telah menjalankan siasatan awal untuk mengenal pasti situasi sebenar kes ini berkata, sebuah syarikat pelancongan yang berdaftar di Bukit Mertajam, Pulau Pinang telah menganjurkan rombongan ke Genting Highlands yang melibatkan pelancong dari Alor Setar, Kedah.

Sebanyak dua buah bas telah digunakan pada 22 April 2021 untuk ke lokasi dan pulang pada 24 April 2021 mengikut prosedur operasi standard (SOP) Gelembung Pergerakan Pelancongan Bersasar Domestik.

Menurutnya, siasatan mendapati, selepas kembali dari Genting Highlands terdapat penumpang yang mengalami gejala demam dan telah membuat pemeriksaan di Klinik Kesihatan.

Pada 7 Mei 2021 KKM telah mengesan 16 individu disahkan positif daripada saringan yang dilakukan ke atas 28 orang dari kumpulan pelancong tersebut.

Pengesanan kontak rapat masih diteruskan oleh Jabatan Kesihatan Alor Setar.

MOTAS berkata, siasatannya mendapati syarikat penganjur telah mematuhi semua syarat-syarat yang ditetapkan dalam SOP Gelembung Pergerakan Pelancongan Bersasar Domestik bagi urusan perjalanan yang dianjurkan.

KKM dan polis juga telah menghubungi syarikat terbabit untuk siasatan lanjut dan pihak syarikat telah memberi kerjasama dengan menyerahkan semua dokumen – dokumen perjalanan, permit, lessen TOBTAB dari MOTAC serta lain- lain dokumen yang diperlukan.

Sementara itu, Menteri MOTAC, Datuk Seri Nancy Shukry mengingatkan semua agensi pengendali pelancong serta kenderaan pelancongan agar sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan semasa mengendalikan aktiviti pelancongan.

Ia bagi memastikan supaya aktiviti pelancongan yang dilaksanakan mendapat perlindungan yang maksimum agar keselamatan pelancong serta pengusaha industri pelancongan itu sendiri dapat dipelihara.

Orang ramai juga diingatkan supaya hanya menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan dan syarikat kenderaan pelancongan yang berdaftar dengan MOTAC sahaja bagi memastikan perkhidmatan yang diperolehi adalah yang terbaik dan selamat.

Namun pada masa ini Gelembung Pergerakan Pelancongan Bersasar Domestik digantung buat sementara bermula 4 Mei 2021 sehingga dimaklumkan kelak.

Katanya, MOTAC berharap penjelasan ini dapat mengelakkan kekeliruan dan spekulasi yang tidak benar berhubung insiden tersebut, selain mengharapkan insiden ini tidak akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap tahap keselamatan dalam sebarang aktiviti pelancongan yang dapat beroperasi kelak setelah kebenaran diberikan oleh pihak kerajaan berdasarkan situasi semasa pandemik Covid-19 dalam negara. – MalaysiaGazette