Datuk Sivakumar Nadarajah

KUALA LUMPUR- Kerajaan digesa untuk segera mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara penuh bagi membendung kadar peningkatan penularan Covid-19 yang sudah semakin meruncing ketika ini.

Pengerusi Dinamik Sinar Kasih, Datuk N Sivakumar merasakan ia jalan penyelesaian bagi ‘menyelamatkan’ rakyat daripada terus dijangkiti dan menjangkiti virus ini ialah dengan melaksanakan PKP 1.0 seperti sebelum ini.

Namun kata Sivakumar yang juga Pengerusi Bahagian MIC Segambut, PKP kali ini perlu juga dilaksanakan dengan pakej bantuan untuk rakyat dan peniaga kecil serta moratorium.

“Hari ini kita dikejutkan sekali lagi dengan angka hampir mencecah 7,000 atau lebih tepat 6,806 dengan jumlah kematian kita tidak pasti lagi. Tetapi sejak beberapa hari lepas sahaja lebih 200 kematian sekaligus dengan angka meningkat saban hari.

“Nampaknya PKP dengan membuka sektor tertentu seperti ekonomi yang kita pasti sebenarnya kerajaan hendak bantu rakyat juga sebenarnya seperti tidak membantu kerana angka-angka yang dikongsikan oleh Kementerian Kesihatan semakin hari semakin menakutkan.

“Nyawa lebih penting dari segalanya. Saya ingin mencadangkan kepada kerajaan supaya melaksanakan PKP menyeluruh sekurang-kurangnya selama 30 hari, lebih baik kita manfaatkan peluang untuk lockdown sepenuhnya.

“Keadaan hospital kita juga semakin sesak, peralatan lagi. Kita sudah tidak mampu lambat bertindak lagi, tidak sepatunya ada syarat atau sektor dibuka lagi, memang terbukti kesan apabila kita buat PKP menyeluruh sebelum ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Hari ini dilaporkan jumlah kes baharu positif Covid-19 meningkat kepada 6,806 kes berbanding semalam sebanyak 6,075 kes.

Angka terkini itu menjadikan keseluruhan pesakit wabak tersebut sehingga kini sebanyak 492,302 orang.

Kata Sivakumar lagi, kewujudan varian-varian baharu dengan kadar jangkitan yang lebih tinggi yang semakin meruncing dan kelemahan pematuhan SOP dalam kalangan sebahagian anggota masyarakat.

“Lebih baik cepat ambil tindakan yang lebih drastik bagi mengelakkan negara terjerumus ke dalam malapetaka kesihatan yang lebih parah walaupun tindakan ini tidak popular dalam kalangan rakyat sekalipun.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kes baharu Covid-19 semakin meningkat, menghampiri angka 7,000