KUALA LUMPUR – Kemasukan lebih 2,000 anggota Pemuda Parti Bangsa Malaysia (PBM) ke Parti Wawasan Negara (Wawasan) berlaku secara organik dan bukan hasil percaturan atau strategi politik parti itu, kata Ketua Pemuda Wawasan, Faiz Rahmad.
Menurutnya, Wawasan tidak pernah mempengaruhi atau menghasut mana-mana pihak untuk menyertai parti berkenaan, sebaliknya membuka ruang kepada mereka melihat Wawasan sebagai wadah politik yang sesuai dengan pendirian mereka.
“Bagi saya, tidak ada strategi pun. Ini selalunya organik. Bukannya kita hasut siapa-siapa bergabung dengan kita.
“Kami hanya menghargai semua orang. Jika anda rasa bebas, datanglah. Jika anda rasa kerajaan atau wadah anda bukan elemen tersebut, kenapa tidak bergabung dengan kami?” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Faiz berkata, Wawasan yang masih baharu dalam arena politik negara dilihat sebagai alternatif kepada mereka yang mahu mencari pendekatan politik berbeza.
Katanya, parti itu juga mahu memainkan peranan sebagai jambatan dalam usaha menyatukan parti-parti utama tanpa mengira perbezaan politik dan kaum.
“Kita lebih bersifat jambatan dalam menyatukan parti-parti utama. Bukan sahaja kita fokus kepada Pas dan UMNO, tetapi dalam gabungan itu ada MIC dan sebagainya.
“Kami menawarkan diri sebagai sebuah jambatan untuk memastikan usaha penyatuan ini dapat dijayakan,” katanya.
Menurut Faiz, perkembangan politik di Negeri Sembilan turut memberikan keyakinan kepada Wawasan parti berkenaan mampu memainkan peranan lebih besar dalam politik negara.
“Sudah tentu kami baru, tetapi daripada keputusan kami di Negeri Sembilan, walaupun kami parti baharu, kita sudah menunjukkan keputusan.
“Kita tahu mengambil langkah yang betul dan berhati-hati dalam pola politik yang sangat dinamik sekarang. Saya rasa itu yang menjadi selling point kita,” jelasnya.

Mengulas penyertaan Pemuda PBM, Faiz berkata, pihaknya melihat perkembangan itu sebagai satu kelebihan yang mampu memperkukuh sayap Pemuda Wawasan untuk bergerak lebih jauh.
“Saya rasa sahabat-sahabat daripada PBM melihat mungkin dalam dinamika politik semasa ini, PBM agak sukar untuk bergerak.
“Jadi kami menawarkan tangan kita. Kenapa tidak sertai kami? Pada waktu ini, kita dilihat lebih relevan dan lebih sesuai dengan kemahuan rakyat berdasarkan apa yang ditunjukkan di Negeri Sembilan,” katanya lagi.
Lebih 20 anggota jawatan kuasa pusat Pemuda PBM hadir pada sidang media tersebut, manakala lebih 2,000 anggota sayap Pemuda PBM mengumumkan penyertaan ke Wawasan berkuat kuasa hari ini.
Faiz berkata, kemasukan berkenaan dijangka memberi kekuatan baharu kepada Pemuda Wawasan untuk memperluas gerak kerja serta memperkukuh pengaruh parti di peringkat akar umbi. -MalaysiaGazette
















