KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung tayangan sebuah drama ‘Madu Atau Racun’ yang didakwa mengandungi elemen hubungan sesama jantina.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee mendakwa, kandungan drama berkenaan menyentuh perkara yang bercanggah dengan nilai agama, budaya serta fitrah insan.
“Jakim menyokong penuh ketegasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr. Zulkifli Hasan yang menolak penayangan drama ‘Madu atau Racun’ kerana ia telah menimbulkan keresahan awam.
“Ketegasan ini adalah amat wajar kerana kandungan drama yang disiarkan melalui platform iQIYI tersebut mengandungi elemen yang bercanggah dengan nilai agama, budaya serta fitrah insan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zulkifli berkata, pihaknya menolak tayangan drama tersebut dan memandang serius penerapan elemen yang menyentuh sensitiviti agama serta norma budaya tempatan sama ada secara tersurat atau sebaliknya.
Sirajuddin berkata, pihaknya akan meneruskan kerjasama dengan agensi berkaitan termasuk Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bagi menangani isu berkenaan.
“Jakim memantau rapat isu ini berpandukan Garis Panduan Penapisan Kandungan Bahan-Bahan Penyiaran Berunsur Islam (JAKIM Bil. 4/2015),” katanya dalam kenyataan tersebut.
Drama yang dibintangi oleh Aliff Aziz, Uqasha Sentise dan Elisya Sandha itu mencetuskan kontroversi susulan beberapa adegan didakwa tidak sesuai dengan budaya dan pegangan agama masyarakat.
Selain mempertikaikan penayangannya di platform iQYI, ada warganet yang menggesa drama itu ditarik balik. -MalaysiaGazette
















