KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan keresahan dan harapan keluarga 55 rakyat Malaysia yang masih menantikan kepastian mengenai nasib insan tersayang susulan bencana banjir dahsyat di Nepal kepada Perdana Menteri, Balendra Shah.
Menurut Perdana Menteri, perkara itu disampaikan beliau dalam perbualan telefon dengan Balendra sebelum beliau berangkat ke China, pagi tadi.
Dalam perbualan itu, katanya, beliau turut membangkitkan keperluan mewujudkan suatu mekanisme rasmi sekiranya mangsa tidak dapat ditemukan dan proses pencarian tidak dapat memberikan kepastian.
Menurut beliau, langkah itu penting bagi membantu keluarga yang terkesan menguruskan perkara berkaitan undang-undang, kewangan dan pentadbiran.
“Saya akan mengutus surat rasmi kepada PM Shah bagi memperincikan cadangan ini,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Terdahulu, kata Perdana Menteri, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Nepal, pihak berkuasa serta pasukan penyelamat yang telah bekerja keras dalam operasi mencari mangsa, termasuk 55 rakyat Malaysia yang masih belum ditemui.
Menurutnya, Balendra menjelaskan bahawa keadaan di lapangan masih amat rumit, dengan skala bencana dan kemusnahan yang disifatkan seumpama tsunami.
Bagaimanapun, ujarnya, Balendra memberi jaminan bahawa usaha pencarian akan diteruskan sedaya upaya, meskipun keadaan di lapangan semakin mencabar.
“Saya berharap segala ikhtiar yang digerakkan akan membuahkan hasil dan memberikan kepastian yang amat dinantikan, terutama buat keluarga kesemua 55 rakyat Malaysia yang masih belum ditemui,” katanya.
Tragedi banjir dashyat yang berlaku 26 Ogos lalu di sepanjang Sungai Bhotekoshi dan Trishuli yang tercetus akibat runtuhan ais glasier dan batu itu memusnahkan banyak perkampungan di utara Nepal.
Lebih 1,400 mayat sudah ditemukan, manakala 6,150 orang masih dilaporkan hilang termasuk 589 warga asing dari 30 negara. – MalaysiaGazette
















