P. Maniam.

KUALA LUMPUR – Pasukan Liga Malaysia bersedia mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) terbaru menyaksikan mereka hanya dibenarkan menjalani sesi latihan secara camp based training sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Ketua Jurulatih PJ City FC, P Maniam mengakui keputusan yang diambil oleh Malaysian Football League (MFL) dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) adalah tepat berdasarkan peningkatan penularan wabak COVID-19 yang ketara ketika ini.

Meskipun kaedah Home Based Training tidak lagi digunapakai, mereka tetap melakukan latihan secara atas talian sambil menunggu perkembangan daripada pihak pengurusan bagi menetapkan tempat penginapan sesuai untuk mereka kembali berlatih di venue latihan.

“Sebaik mengetahui tentang perkembangan ini, pihak pengurusan ada memberitahu saya yang mereka akan segera mencari hotel atau tempat penginapan yang bersesuaian dengan konsep ‘Camp Based Training’.

“Jadi buat sementara waktu ini, kami akan membuat latihan secara atas talian bagi kekalkan kecergasan pemain sebelum kita boleh lakukan latihan secara fizikal sepenuhnya.

“Kami amat memahami syarat yang ditetapkan oleh MFL mengikut saranan MKN serta KKM kerana penularan kes COVID-19 yang kembali tinggi sejak kebelakangan ini”, katanya.

Kapten Kedah Darul Aman FC, Baddrol Bakhtiar pula menyifatkan ini bukan kali pertama mereka berdepan situasi di mana kawasan Kota Setar dikenakan PKP Diperketatkan (PKPD) dan mereka perlu berlatih di Jitra pada September tahun lalu.

Justeru, pasukan bersedia untuk menukar venue latihan kali ini kerana latihan secara fizikal amat penting apatah lagi mereka bakal menempuh saingan Piala AFC, bulan depan.

“Mungkin sekali lagi kami ke Jitra atau UUM (Universiti Utara Malaysia) di Sintok namun semua keputusan di atas tangan pengurusan yang lebih tahu jalan terbaik.

“Selagi situasi penularan COVID-19 ini belum reda, pemain-pemain kena setiap masa bersiap sedia atas segala kemungkinan terhadap apa yang akan terjadi serta cuba mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya.

Nada sama turut diluahkan kapten Negeri Sembilan FC, Zaquan Adha Abdul Radzak apabila mereka sebagai pasukan bersedia untuk memberi kerjasama terbaik dalam memastikan gelembung sukan tidak bocor.

Justeru, dia merasakan ini adalah langkah terbaik di samping mereka juga dapat menjaga kesihatan dan keselamatan ahli keluarga yang berada di rumah.

“Kalau tanya pada saya, sebenarnya apa sahaja yang terbaik untk kita semua, kita kena ikut kerana kalau tidak, mungkin kita akan rosakkan gelembung sukan yang ada ini sekali gus menjejaskan saingan Liga Malaysia.

“Sebagai pemain, kita memang ingin terus beraksi, jadi SOP terbaik yang ada ini adalah untuk kebaikan semua pihak juga agar liga akan terus berjalan dengan baik,” katanya.

Semalam, MFL mengumumkan pasukan-pasukan Liga Malaysia tidak lagi dibenarkan menjalani sesi latihan secara Home Based Training sepanjang PKP dilaksanakan dan dikehendaki mematuhi Camp Based Training sahaja selepas MFL mengadakan mesyuarat bersama KBS, Majlis Sukan Negara (MSN) dan KKM. – MalaysiaGazette