Copa America 2021 dari Colombia ditarik balik selepas tercetusnya beberapa siri protes dan rusuhan rakyat menentang kerajaan mereka yang menjejaskan aktiviti sosial dan bola sepak di negara tersebut.

BOGOTA- Colombia hilang hak penganjur bersama Copa America 2021 berikutan beberapa siri protes yang mencetuskan ketidakstabilan di negara tersebut.

Kejohanan bola sepak yang dijadualkan berlangsung di Colombia dan Argentina untuk kali pertama dalam sejarah 105 tahun.

Perlawanan Copa America membabitkan 10 pasukan Amerika Selatan itu dijadualkan bermula pada 13 Jun hingga 10 Julai ini di Barranquilla.

Berikutan tercetusnya protes besar-besaran menentang kerajaan Colombia, Konfederasi Bolasepak Amerika Selatan (Conmebol) menarik balik hak penganjuran di Colombia selepas permohonan menunda temasya berkenaan ke bulan November 2021 ditolak sebelum ini.

“Venue baharu penganjuran Copa America kali ini akan dimaklumkan kelak,” katanya.

Argentina ditawarkan untuk menganjurkan keseluruhan kejohanan itu.

Protes masih berterusan di Colombia sejak April lalu selepas kerajaan itu cuba melaksanakan pelan cukai berkontroversi yang didakwa menekan rakyat.

Beberapa perlawanan Piala Continental dipindahkan ke Paraguay dan Ecuador.

Colombia juga telah terkesan dengan pandemik Covid-19 dengan kadar kematiannya kini mencecah 83,000 kes.

Argentina sedang menjalani darurat sehingga 31 Mei ini selepas gelombang baharu Covid-19 melanda negara itu.

Brazil merupakan juara bertahan Copa America pada 2019. – MalaysiaGazette