Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan melaksanakan penambahan sekatan ke atas sektor ekonomi dan sosial yang sedang dilaksanakan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 untuk membendung penularan wabak Covid-19.

Keputusan tersebut dicapai sebulat suara dalam sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin petang tadi.

Perincian sekatan tambahan itu akan diumumkan dalam sidang media Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob esok (Sabtu).

Sidang khas itu turut melibatkan kerajaan negeri bagi mengambil kira situasi semasa di negeri masing-masing serta pandangan mereka terhadap usaha untuk mengekang penularan Covid-19.

Pejabat Perdana Mneteri dalam kenyataannya berkata, mesyiuarat telah  membincangkan secara mendalam situasi semasa penularan jangkitan Covid-19 dan meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan berhubung status terkini wabak tersebut.

Katanya, ini termasuk kadar kebolehjangkitan, kapasiti kesihatan setiap negeri dan cadangan tindakan bagi mengawal penularan jangkitan Covid-19.

“Selain itu, Sidang Khas juga membincangkan status pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang sedang berkuat kuasa untuk tempoh empat minggu bermula 12 Mei 2021.

”Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi PKP 3.0 telah diperketatkan termasuk larangan rentas negeri dan daerah serta sekatan bagi aktiviti sosial, sukan dan rekreasi serta persidangan dan mesyuarat secara bersemuka,” kata kenyataan itu lagi.

Namun begitu, penularan dalam komuniti yang semakin meningkat dan kewujudan varian baharu yang lebih agresif dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi menyebabkan usaha untuk melandaikan lengkung jangkitan mengambil masa yang lebih panjang.

Berita lanjut menyusul. – MalaysiaGazette