Selebriti, Neelofa bersama suaminya yang juga pendakwah selebriti, Haris Ismail atau dikenali sebagai PU Riz hadir ke mahkamah bagi pendakwaan atas kesalahan merentas negeri untuk membeli karpet di Kompleks Mahkamah Seremban, Negeri Sembilan semalam.Foto AFFAN FAUZI.

KUALA LUMPUR – Dakwaan selebriti, Neelofa tidak memakai pelitup muka semasa hadir ke Kompleks Mahkamah Seremban semalam akan disiasat.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, pihaknya telah menerima laporan polis berhubung perkara itu Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor.

“Laporan polis diterima kerana tindakan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pemakaian pelitup muka seperti mana diwajibkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada semua orang.

“Ini termasuklah kepada mereka yang mengenakan niqab penuh atau separuh,” katanya menerusi kenyataan media seperti laporan beberapa portal berita hari ini.

Menurut Mohd Said, siasatan dibuat ekoan KKM sebelum ini telah mengeluarkan garis panduan mewajibkan pelitup muka di semua tempat awam mulai 1 Ogos lalu.

Sehubungan itu katanya, satu siasatan telah dijalankan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

“Polis tidak akan berkompromi dalam mengambil apa jua tindakan bagi memastikan SOP yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan peraturan yang ditetapkan oleh KKM sentiasa dipatuhi,” katanya.

Semalam, selebriti berkenaan ke Kompleks Mahkamah Seremban menjadi kritikan netizen apabila beberapa keping foto tersebar menujukkan Neelofa tidak memakai pelitup muka di sebalik niqab.

Neelofa dan suami mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seremban atas pertuduhan kesalahan melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).- MalaysiaGazette