Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebanyak tujuh mukim dalam daerah Kuantan, Pahang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKPD) bermula 24 Mei hingga 6 Jun ini.

Mukim yang terlibat adalah Mukim Beserah, Mukim Kuala Kuantan 1, Mukim Kuala Kuantan 2, Mukim Penor, Mukim Sungai Karang, Mukim Ulu Kuantan dan Mukim Ulu Lepas.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan  kadar kebolehjangkitan di ketujuh-tujuh lokaliti berkenaan amat tinggi.

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 6,548 ujian saringan dan 619 daripadanya disahkan positif Covid-19,” katanya menerusi kenyataan berkenaan perkembangan PKP hari ini.

Selain itu, lima buah taman dan perkampungan sekitar Gau, Termerloh Pahang turut dilaksanakan PKPD untuk tempoh yang sama.

Ia melibatkan Taman Gau Indah, Taman Gau Makmur, Taman Gau Aman, Taman Gau Idaman dan Kampung Gau Baru.

Ujar Ismail, berdasarkan laporan KKM,  trend menunjukkan peningkatan kes positif Covid-19 ketara di semua lokaliti berkenaan.

“Sehingga 21 Mei 2021, KKM telah melaksanakan 432 ujian saringan di semua lokaliti tersebut dan 16 daripadanya disahkan positif Covid-19.

“KKM mengesahkan berlaku peningkatan kes yang ketara dalam tempoh singkat dengan kadar kebolehjangkitan amat tinggi di lokaliti tersebut,” katanya menerusi kenyataan media mengenai perkembangan PKP hari ini.

Turut dilaksanakan PKPD untuk tempoh yang sama, Kampung Melikai, Kuala Penyu di Sabah, serta Silimpopon Estate dan Silimpopon Mill, Kalabakan, Sabah.

Rumah Panjang Nyalu, Jalan Mukah-Selangau, Mukah, Sarawak juga dikuatkuasakan sebagai kawasan PKPD bermula 24 Mei sehingga 6 Jun ini.

Dalam pada itu, Ismail mengumumkan penamatan PKPD di Rumah Panjang Jali dan
Rumah Panjang Lanyau, Bukit Dinding-Begerik, Mukah, Sarawak ditamatkan pada 23 Mei 2021.

PKPD juga ditamatkan di Taman Tanah Putih Baru, Kuantan, Pahang yang dijadualkan pada 25 Mei 2021. – MalaysiaGazette