Badrul Afzan Razali.

KUALA LUMPUR – Semangat juang luar biasa ditunjukkan pemain-pemain muda menjadi ramuan utama di sebalik kejayaan Terengganu FC II (TFC II) yang kekal utuh menjadi satu-satunya pasukan mengekalkan rekod tanpa kalah dalam Liga Malaysia setakat ini.

Ketua jurulatih TFC II, Badrul Afzan Razali mengakui apa yang ditunjukkan barisan pemainnya setakat ini adalah di luar jangkaannya dan berbangga kerana mereka menjadi sebuah pasukan yang sukar ditewaskan oleh mana-mana pasukan di Liga Premier.

Menurut Badrul yang juga bekas pemain Terengganu pada era lewat 90-an, dia berharap pemain-pemainnya mampu mempertahankan rekod tanpa kalah itu sehingga penghujung musim selain mengekalkan kedudukan di tangga ketiga terbaik.

“Apa yang telah ditunjukkan pemain-pemain adalah lebih daripada apa yang saya cuba harapkan walaupun dalam tujuh daripada 11 perlawanan setakat ini, saya hanya boleh menggunakan dua pemain import ekoran Jordan Mintah dan Dechi N’Guessan ke skuad utama.

“Bagaimanapun mereka menunjukkan sebaliknya dengan persembahan penuh bertenaga dalam tiap perlawanan malah tiga pemain import sedia ada, Masaki Watanabe, Jordan Mintah dan Argzim Redzovic sentiasa menjadi pendorong di atas padang.

“Kehadiran Mintah dalam beberapa perlawanan terakhir telah memberikan perubahan ketara bagi membantu pasukan raih beberapa perlawanan penting dan sekarang cabaran utama kami adalah untuk meneruskan rentak yang dibina sebaik liga bersambung nanti.

“Selain mencari sasaran mahu berada dalam kalangan tiga terbaik Liga Premier, matlamat utama saya mahu memenangi Challenge Cup yang pernah kami julang pada dua musim lalu,” katanya.

TFC II kini berada di belakang Sarawak United FC dan Negeri Sembilan FC selepas meraih empat kemenangan dan seri dalam tujuh perlawanan bagi meraih 19 mata secara keseluruhan.

Musim lalu, TFC II yang di bawah kendalian Roshadi Wahab muncul naib juara Liga Premier dengan menjadi satu-satunya pasukan yang menewaskan juara Liga Premier, Pulau Pinang.

Menggunakan majoriti pemain yang purata berusia 21 hingga 24 tahun, Badrul menyifatkan ramai antara mereka berpotensi untuk diketengahkan dan bersedia beraksi dengan skuad utama jika mendapat peluang.

“Pemain tempatan paling berusia dalam pasukan adalah Suhaimi Husin yang berusia 27 tahun namun dia telah dinaikkan ke Terengganu FC bagi gantikan Rahadiazli (Rahalim) yang mendapat kecederaan selain penyerang, Ramzi Sufian, berumur 26 tahun.

“Yang lain rata-ratanya berusia 24 tahun ke bawah dan sememangnya objektif kami mahu melihat seberapa ramai pemain dari TFC II akan menjadi tulang belakang kepada skuad utama pada beberapa tahun akan mendatang.

“Sebahagian besar daripada mereka jadikan matlamat bermain dengan skuad utama sebagai motivasi utama yang secara tidak langsung menjadi pemangkin di sebalik prestasi TFC II,” katanya. – MalaysiaGazette