Adzli Abu Shah.

SUNGAI PETANI – Seramai 16 lelaki yang berkumpul untuk jual beli air ketum dikompaun RM4,000 setiap seorang dalam satu serbuan di sebuah pondok di Kampung Sungai Layar Hujung di sini semalam.

Serbuan pada jam 5.15 petang oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Khas D9, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah itu mendapati kesemua mereka berkumpul tanpa penjarakan fizikal, selain tidak memakai pelitup muka.

Mereka yang ditahan terdiri daripada anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), juruteknik, pekerja hotel, pengawal keselamatan, peniaga pasar malam serta lapan pengganggur.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kesemua mereka yang berusia antara 20 hingga 52 tahun itu dikompaun susulan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kesemua mereka didapati gagal mengemukan alasan munasabah berkumpul serta melanggar SOP yang ditetapkan kerajaan.

“Hasil siasatan juga mendapati 16 lelaki itu sedang berurusan jual beli air ketum di pondok tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Adzli, kesemua suspek dibawa ke IPD Kuala Muda untuk tindakan kompaun dan setiap seorang dikompaun RM4,000.

“Selain itu, siasatan  turut dilakukan mengikut Akta Racun 1952,” ujar beliau.