KUALA LUMPUR – Fenomena gerhana penuh akan dapat disaksikan pada 26 Mei ini (Rabu) antara jam 4.47 petang dan bakal berakhir pada 9.50 malam.
Agensi Angkasa dalam satu kenyataan hari ini berkata, orang ramai berpeluang menyaksikan fenomena tersebut ketika fasa gerhana separa (Sabah dan Sarawak) dan juga fasa gerhana maksimum (Semenanjung).
“Gerhana bulan penuh akan berlaku selepas bulan berada pada kedudukan yang paling hampir dengan bumi (perigee) dengan jarak 357,309km.
“Fenomena ini dapat dilihat secara keseluruhan di timur Australia, New Zealand dan Kepulauan Pasifik, termasuk Hawaii,” kata kenyataan itu.

Fenomena tersebut hanya kelihatan ketika fasa gerhana telah maksimum.
Orang ramai boleh menyaksikan penstriman langsung Gerhana Bulan Penuh “Super Flower Blood Moon” di akaun media sosial Facebook dan Youtube Planetarium Negara pada Rabu nanti.
Bagaimanapun berikutan keadaan negara yang sedang berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik Covid-19, maka kemudahan teleskop yang selalunya dapat diakses di Planetarium Negara tidak akan dibuka. – MalaysiaGazette
















