Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi melihat ayam segar yang dijual semasa mengadakan lawatan di MyFarm Outlet Kasih, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 22 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengumumkan 11 jenis barangan kawalan yang terlibat dalam pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) pada musim perayaan kali ini.

Menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi dalam satu kenyataan berkata, 11 barangan tersebut termasuk ayam, daging kerbau import, telur ayam, dan daging babi.

Beliau berkata, pelaksanaan skim itu melibatkan dua perayaan iaitu Hari Gawai dan perayaan Pesta Kaamatan yang akan disambut tidak lama lagi.

“KPDNHEP akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2021 sebagai langkah untuk memastikan harga barangan keperluan berpatutan sepanjang sambutan perayaan Pesta Kaamatan yang akan disambut oleh penduduk di Labuan dan Sabah pada 31 Mei 2021 dan Hari Gawai disambut oleh penduduk di Sarawak pada 1 Jun 2021.

“Tarikh kuat kuasa SHMMP Pesta Keamatan 2021 akan bermula pada 27 Mei 2021 hingga 2 Jun 2021 iaitu selama 7 hari (3 hari sebelum perayaan, pada hari perayaan dan 3 hari selepas hari perayaan),” kata Nanta Linggi dalam satu sidang media hari ini.

Manakala bagi SHMMP Hari Gawai 2021 pula, tarikh berkuat kuasa adalah pada 28 Mei 2021 hingga 3 Jun 2021 iaitu selama 7 hari iaitu 4 hari sebelum perayaan, pada hari perayaan dan 2 hari selepas hari perayaan.

Antara barangan yang dikawal adalah Ayam hidup (Ayam standard, Ayam super), kepak ayam, telur ayam gred A, B dan C, daging kerbau import (India), babi hidup, daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak) serta ayam tua hidup bagi perayaan Hari Gawai.

Kementerian katanya, akan membuat pemeriksaan dan pemantauan premis di Labuan, Sabah dan Sarawak bagi memastikan peniaga patuh ke atas SHMMP ini dan mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Nanta Linggi berkata, bagi membendung kenaikan harga yang tidak munasabah oleh peniaga, tindakan tegas termasuk denda maksimum akan dikenakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Individu yang disabitkan kesalahan boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, manakala bagi syarikat pula boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000,” katanya.

Untuk SHMMP kali ini, harga maksimum bagi ayam hidup ditetapkan RM6.70 sekilogram, ayam standard RM9.80 sekilogram, ayam super RM10.30 sekilogram, kepak ayam RM13.30 sekilogram, telur ayam gred A RM0.42 sebiji, telur ayam gred B RM0.41 sebiji, dan telur ayam gred C RM0.40 sebiji.

Manakala daging kerbau import India pula RM21 sekilogram, babi hidup RM11 sekilogram, daging babi perut RM24 sekilogram dan daging babi (daging dan lemak), RM20 sekilogram. – MalaysiaGazette