M. Saravanan

KUALA LUMPUR – Sehingga jam 9 pagi tadi, Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerima sembilan aduan berhubung majikan yang tidak membenarkan pekerja untuk Bekerja Dari Rumah (BDR).

Serentak itu, KSM menerusi jabatan-jabatan berkaitan di bawahnya akan menjalankan siasatan di bawah akta-akta yang berkaitan di bawah kementerian.

Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, maklumat siasatan ini akan dirujuk kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) atau Kementerian Kesihatan Malaysia sekiranya terdapat pelanggaran SOP atau Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Dalam pada itu, menurutnya, KSM telah menambahbaik aplikasi Working for Workers (WFW) yang dilancarkan pada 3 Mei 2021 dengan memperkenalkan satu kategori aduan baharu iaitu “Majikan tidak benarkan Bekerja Dari Rumah (BDR)” bermula 23 Mei 2021.

Sehingga kini, terdapat 17 kategori aduan dalam aplikasi WFW yang menyentuh isu-isu perburuhan yang dihadapi oleh golongan pekerja.

Saravanan menambah, kategori ini diwujudkan mengambil kira pengumuman kerajaan yang menetapkan 40 peratus pekerja sektor swasta dikehendaki bekerja dari rumah berkuat kuasa 25 Mei 2021 bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

Oleh itu, mana-mana pekerja yang dipaksa oleh majikan untuk hadir ke pejabat dan bercanggah dengan sekatan tambahan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), diminta membuat aduan melalui aplikasi WFW ini.

” Langkah untuk mewujudkan kategori baharu ini di atas talian adalah inisiatif KSM untuk mengurangkan pergerakan dan kehadiran secara fizikal pekerja yang ingin membuat aduan di mana-mana Pejabat Tenaga Kerja.

”Aplikasi WFW merupakan satu platform bagi golongan pekerja untuk menyuarakan aduan serta permasalahan berhubung isu-isu perburuhan,” ujarnya sambil menambah sehingga 23 Mei 2021, aplikasi ini telah merekodkan sebanyak 178 aduan dan
daripada jumlah tersebut, 105 aduan adalah oleh rakyat tempatan, manakala selebihnya pekerja asing.

Negeri yang merekodkan jumlah aduan tertinggi adalah Kuala Lumpur (75 kes), diikuti Selangor (44 kes), dan Johor (21 kes).
Antara isu aduan yang kerap diterima adalah berhubung kelewatan pembayaran gaji, tiada pembayaran gaji, pemberhentian kerja tanpa notis, isu ketiadaan kontrak kerja dan lain-lain isu.- MalaysiaGazette