Rozila Yusuff

KUALA LUMPUR – Seorang wanita tidak menyangka anak lelakinya terlibat  dalam kemalangan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) Kelana Jaya berhampiran Stesen KLCC dari arah stesen Kampung Baru di sini malam ini.

Apa yang lebih mengejutkan Rozila Yusuff, anak lelakinya dikenali sebagai Haikal, 21, terpercayai terpelanting sebelum terjatuh dan cedera di bahagian dahi.

“Saya memang terkejut dan hilang kata-kata sebenarnya. Kawan anak saya yang menelefon memberitahu kejadian menimpa Haikal (mangsa) sekitar jam 8.45 malam tadi.

“Saya terus bergegas ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana dimaklumkan anak saya akan dirawat disini. Saya sebenarnya ‘mati kutu’.

“Sempat juga saya bertemu dengan anak saya sekitar jam 10 tadi, dahinya luka besar dan memerlukan jahitan, kata Haikal sakit dan tidak dapat bercakap banyak.

“Ketika kejadian, Haikal berada di gerabak tengah, Saya dapat tahu ada yang lebih teruk dan rasa terlampau takut.

“Saya hanya dapat bernafas apabila lihat anak saya sebentar tadi,” katanya dalam tangisan.

Rozila memaklumkan anaknya baru sahaja habis kerja di KLCC sebelum meneruskan perjalanan ke Pasar Seni.

Ketika ini, rata-rata mangsa yang cedera sedang menerima rawatan manakala keluarga menunggu di luar perkarangan Hospital Kuala Lumpur.

Ini juga dikatakan kejadian pertama membabitkan pertembungan tren LRT dalam 23 tahun perkhidmatan itu beroperasi. -MalaysiaGazette