Singapura
Bandar raya Singapura.

SINGAPURA – Ekonomi Singapura berkembang sebanyak 1.3 peratus pada asas tahun ke tahun pada suku pertama 2021 daripada penguncupan 2.4 peratus pada suku sebelumnya, demikian menurut Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) republik itu.

Dalam laporan yang dikeluarkan hari ini, kementerian itu berkata, berdasarkan suku ke suku yang diselaraskan secara bermusim, ekonomi berkembang sebanyak 3.1 peratus, meneruskan pengembangan 3.8 peratus pada suku keempat tahun lepas.

Dengan mengambil kira ketidaktentuan yang lebih besar daripada kelaziman sepanjang berlakunya pandemik di seluruh dunia selain situasi domestik Singapura, MTI berkata ia telah memutuskan untuk mengekalkan ramalan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi 2021 pada 4.0 hingga 6.0 peratus setakat ini.

“Kajian semula ramalan itu akan dilaksanakan pada Ogos apabila terdapat data sukuan lain serta situasi ekonomi domestik dan global yang lebih jelas,” katanya.

Bagi prestasi ekonomi dalam suku pertama, sektor pembuatan berkembang 10.7 peratus tahun ke tahun, lebih pantas berbanding pertumbuhan 10.3 peratus pada suku sebelumnya.

“Pertumbuhan adalah berikutan pengembangan output dalam kluster elektronik, kejuruteraan ketepatan dan bahan kimia yang mengatasi kemerosotan output dalam kluster kejuruteraan pengangkutan, pembuatan am dan pembuatan bioperubatan,” katanya.

Ini diikuti sektor dagangan borong yang berkembang 3.5 peratus tahun ke tahun; sektor runcit sebanyak 1.4 peratus; sektor penginapan sebanyak 19.0 peratus; sektor maklumat dan komunikasi 6.4 peratus dan sektor kewangan dan insurans sebanyak 4.7 peratus.

Industri perkhidmatan lain turut berkembang sebanyak 0.5 peratus tahun ke tahun, pemulihan daripada penguncupan 5.7 peratus pada suku keempat.

Sementara itu, sektor pembinaan merosot sebanyak 22.7 peratus tahun ke tahun, meningkat daripada penyusutan 27.4 peratus pada suku sebelumnya.

“Prestasi sektor itu bagaimanapun dijejaskan oleh pengurangan kerja-kerja pembinaan di sektor awam dan swasta,” kata MTI.

Sektor pengangkutan dan penyimpanan merosot sebanyak 16.5 peratus, diikuti sektor perkhidmatan makanan dan minuman sebanyak 9.4 peratus, sektor hartanah 3.9 peratus, perkhidmatan profesional sebanyak 4.5 peratus dan sektor perkhidmatan pentadbiran dan sokongan iaitu 12.9 peratus.

Bagi unjuran ekonomi tahun ini, kementerian itu berkata ketika terdapat kemungkinan bahawa ekonomi Singapura akan mengatasi ramalan pertumbuhan 4.0 peratus hingga 6.0 peratus untuk 2021, risiko penurunan yang ketara turut ada.

“Paling penting adalah trajektori pandemik COVID-19,” katanya.

MTI berkata, negara-negara berdepan gelombang jangkitan semula COVID-19 dengan kemunculan lebih banyak jenis virus yang boleh dipindahkan, kelonggaran sekatan pengurusan keselamatan dan kelewatan penduduk untuk mendapat vaksinasi.

“Kemunculan semula ini, di samping respons kesihatan awam negara terhadapnya, tentunya akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi mereka,” katanya.

Dengan mengambil kira pengalaman pada 15 bulan lepas, MTI berkata ada harapan bahawa meskipun pandemik ini kembali melanda, negara-negara berupaya mengelakkan pelaksanan semula sekatan perjalanan menyeluruh dan kos ekonominya yang tinggi.

“Memandangkan negara-negara ini adalah termasuk beberapa rakan ekonomi utama kita di rantau ini, ketidakpastian dalam unjuran mereka turut melibatkan Singapura,” kata kementerian itu.

MTI berkata, di peringkat tempatan, ketika COVID-19 secara umumnya dapat dikawal dengan baik dengan republik itu mencatatkan perkembangan memberangsangkan untuk memvaksin seluruh penduduknya, wujud risiko ketidakpastian yang ketara dalam situasi COVID-19 itu sendiri.

“Risiko bukan ekonomi ini boleh memberikan impak besar kepada pertumbuhan KDNK kami pada tahun ini,” katanya. – MalaysiaGazette