Reezal Merican.

BAYAN LEPAS – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengikut peraturan serta perlembagaan dalam menyelesaikan kemelut membabitkan mana-mana persatuan sukan dalam negara.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menegaskan sedemikian susulan kepincangan yang sedang melanda Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) ketika ini.

Jelas beliau, pihaknya kini sedang menunggu laporan dari Pesuruhjaya Sukan (PJS) berhubung pertemuan yang diadakan semalam antara kumpulan yang sudah menarik diri serta kumpulan masih memegang jawatan dalam PSM.

“Saya minta PJS kemukan laporan awal berhubung pertemuan itu pada Khamis ini dan saya minta semua pihak memberi ruang buat masa ini kerana PSM masih ada tempoh sehingga 4 Jun depan untuk mengemukan rayuan.

“Sebagai Menteri KBS saya bukan nak jaga pesatuan tetapi saya nak jaga pembangunan sukan tersebut.

“Sekiranya berlaku kemelut dalam mana-mana persatuan sukan menyebabkan terbantutnya pembangunan sukan maka tindakan tertentu akan kita lakukan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang hari ini.

Mengulas lanjut, Reezal Merican berkata, PSM merupakan persatuan yang sah kerana tidak ada sebarang laporan berhubung pembatalannya ketika ini.

“Apa pun kita akan selesai kemelut yang berlaku ini mengikut peraturan dan perlembagaan,” ujarnya.

Media tempatan pada Khamis lalu melaporkan, Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) terus dihukum apabila digugurkan daripada menjadi ahli gabungan Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) berkuat kuasa serta merta.

Keputusan itu dicapai selepas berlangsungnya sesi pendengaran dalam talian yang diketuai oleh Pengerusi Panel Pendengaran Tatatertib Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf), Yogender Singh.

Ia dicapai sebulat suara dalam sesi perbicaraan yang turut dihadiri wakil dari India, Indonesia, Iran, Jepun, Malaysia, Pakistan, dan Thailand menerusi aplikasi Zoom.

Untuk rekod, setakat hari ini, 11 badan naungan PSM iaitu Kelantan, Johor, Selangor, Kedah, Terengganu, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Perak, Perlis, Sabah dan Sarawak turut keluar daripada PSM. – MalaysiaGazette