KUALA LUMPUR – Kes perbicaraan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.28 bilion yang dihadapi oleh Datuk Seri Najib Razak ditangguh sekali lagi pagi ini oleh Makhamah Tinggi.

Ini kerana Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan masih lagi cuti sakit berikutan bengkak mata selepas menjalani pembedahan mata Khamis lepas.

Peguam yang mengetuai pasukan pembelaan Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan mahkamah, anak guamnya cuba hadir prosiding hari ini namun bengkak mata serta kemerahan masih lagi ada.

Jelas Muhammad Shafee di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah, Najib juga telah diberikan sijil cuti sakit (MC) selama tujuh hari minggu lalu dan sebenarnya berharap masih dapat meneruskan prosiding jika bengkak mata itu reda.

“Pagi ini bengkaknya reda sedikit tetapi masih ada kemerahan, malah anak guam saya telah diminta oleh doktornya untuk bertemu pada hari esok untuk pemeriksaan selanjutnya.

“Sebelum ini doktor yang merawat mata beliau telah menasihatinya untuk berehat dengan sewajarnya supaya bengkak dan tanda-tanda merah itu beransur pulih dalam tempoh terdekat.

“Oleh yang demikian, saya mohon jasa baik Yang Arif untuk tangguh dulu prosiding hari ini dan berharap anak guam saya pulih untuk perbicaraan pada hari Khamis ini memandangkan esok cuti umum Hari Wesak,” katanya sebentar tadi.

Perbicaraan 1MDB tangguh, Najib alami bengkak mata

Collin kemudian membenarkan permohonan tersebut dan membuat ketetapan prosiding bersambung Khamis pagi.

Dalam pada itu, Collin turut memberikan kata dua dalam memastikan semua pihak yang terlibat secara langsung dengan perbicaraan 1MDB ini dapat mematuhi prosedur standard operasi (SOP) ditetapkan kerajaan selaras pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Antaranya termasuklah semua pihak untuk meminimumkan kehadiran wakil dalam bilik prosiding.

“Saya tahu semua SOP ini baharu buat kita, ianya bukan dibuat untuk susahkan kita sebaliknya dirangka untuk keselamatan kita sendiri apatah lagi dengan keadaan peningkatan angka kes Covid-19 setiap hari.

“Ini adalah amat penting untuk menjaga soal kesihatan dan nyawa semua pihak sama ada kakitangan mahkamah dan semua pihak di dalam usaha mengekang penularan virus Covid-19,” tegasnya.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berhadapan empat tuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Sepatutnya hari ini seorang lagi peguam bela, Wan Aizuddin Wan Muhammed meneruskan pemeriksaan balas saksi pendakwaan ke-10 Mohd Hazem Abdul Rahman, 49, yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB.

Prosiding dijangka bermula lusa sekitar jam 9.30 pagi. -MalaysiaGazette