Tempahan 1 juta vaksin AstraZeneca untuk pendaftaran dalam talian telah ditutup tidak sampai satu setengah jam selepas dibuka bermula jam 12 tengah hari tadi di Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 26 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Gangguan teknikal yang berlaku sewaktu tempahan slot janji temu vaksin AstraZeneca secara sukarela (pusingan kedua) dibuka tengah hari tadi, menyebabkan pengguna menghadapi kesukaran mengakses beberapa butang ciri laman sesawang Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF).

Dalam kenyataan hari ini CITF memaklumkan, ia memandang serius masalah teknikal yang dihadapi dan tindakan akan diambil kepada pihak yang berkenaan, demi kepentingan awam dan negara.

“Kami memohon maaf di atas segala kesulitan yang dihadapi oleh orang ramai, dalam membuat percubaan tempahan tersebut. Suka kami mengulangi bahawa mereka yang telah mendaftar di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, akan tetap mendapat suntikan vaksin di bawah program itu terutamanya apabila kadar vaksinasi ditingkatkan dalam bulan-bulan mendatang,” katanya.

Menurut CITF, sebanyak 956,609 tempahan dos vaksin AstraZeneca bagi penduduk Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas, telah dipenuhi hari ini.

“Inisiatif ini yang telah dibuka kepada penduduk Malaysia berusia 18 tahun ke atas di lima negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Sarawak telah habis ditempah dalam masa lebih kurang satu jam selepas tempahan dibuka,” katanya.

Sebanyak 1,261,000 dos vaksin AstraZeneca  telah ditawarkan, di mana 275,208 dos telah ditempah oleh warga emas sewaktu inisiatif tersebut mula dibuka daripada 23 Mei sehingga hari ini.  Sementara 29,183 orang dalam senarai menunggu vaksin Astrazeneca sebelum ini, telah dimasukkan ke dalam senarai giliran kali ini, menurut CITF.

CITF mengucapkan terima kasih di atas sambutan baik orang ramai yang telah menjalankan tanggungjawab masing-masing, bagi memastikan negara mencapai imuniti kelompok seperti yang disasarkan.

Laman media sosial hari ini dipenuhi dengan rasa tidak puas hati pengguna, yang tidak berjaya mendapat slot tempahan AstraZeneca.

— BERNAMA