Pemilik Pusat Gimnasium Enrich Fitness, Krishnakumar menutup premisnya selepas selesai membersihkan alat senaman berikutan pusat gimnasium tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 di Seri Kembangan, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 19 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Semakin ramai pengusaha pusat gimnasium bakal gulung tikar apabila golongan itu tidak lagi dapat bertahan kerana tidak mampu membayar sewa lot kedai dan gaji kakitangan.

Presiden Persatuan Pengusaha Gimnasium Malaysia, Krishna Kumar berkata, pengusaha kini berdepan tekanan berikutan terpaksa menanggung kerugian besar mencecah 100 peratus selepas sekali lagi operasi dihentikan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula 12 Mei lalu hingga kini.

“Kami semua buntu dan wang simpanan sudah habis, yang mana kebanyakannya menunggu masa untuk tutup premis.

“Situasi ini memberi kesan kepada para pekerja yang terpaksa diberhentikan kerana kami tidak mampu membayar gaji mereka.

“Jadi kami berharap kerajaan dapat membela nasib kami yang hilang punca pendapatan ini,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Krishna Kumar.

Kumar yang juga pemilik Enrich Fitness berkata, sebelum ini sebanyak 80 pusat gimnasium yang beroperasi di lot kedai ‘gulung tikar’ sejak PKP 1.0 dilaksanakan bermula Mac tahun lalu  walaupun dibenar kembali operasi tiga bulan kemudian hingga akhir tahun lalu.

Menurutnya, kebanyakan pusat gimnasium di seluruh Malaysia yang tutup operasi di rumah kedai kerana tidak ada sumber pendapatan lain.

“Bila gimnasium ditutup pada PKP tahun lalu, mereka tidak ada pendapatan langsung.

“Hendak buat jualan atas talian pun tidak boleh kerana kami hanya ada peralatan gimnasium sahaja dan 100 peratus bergantung dengan pendapatan gimnasium,” katanya.

Jelas Kumar lagi, pihaknya sedia mematuhi standard operasi prosuder (SOP) yang lebih ketat jika dibenarkan dibuka pada PKP 3.1 ini.

“Sebelum ini pun memang kami ikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Belia dan Sukan.

“Malah kami ada tambahan insiatif sendiri dengan mewajibkan pelanggan membawa dua helai tuala kecil, hadkan kehadiran pelanggan yang datang, membersih peralatan dua jam sekali dan membuat jadual temujanji untuk pelanggan,” katanya.

Kumar turut berharap kerajaan memberi bantuan kewangan khas kepada pengusaha sama ada geran atau pengecualian lesen jika dibenar buka kembali supaya peniaga boleh mula bernafas untuk emulakan perniagaan. – MalaysiaGazette