Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman bercakap selepas meninjau Stesen LRT KLCC susulan kemalangan dua LRT dari arah Gombak dan Kelana Jaya di Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 25 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Prasarana Bhd., Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mengakui kesilapan yang dilakukannya pada sidang media mengenai kemalangan tren Transit Aliran Ringan (LRT), semalam.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Datuk Seri Najib Razak menerusi hantaran di Facebook dengan memberitahu, Ahli Parlimen Pasir Salak itu meminta maaf kepada wartawan yang hadir pada sidang media itu.

Tajuddin, katanya, turut menerima nasihat dan teguran daripadanya selepas didakwa mengendalikan sidang media secara berseloroh.

“Sebentar tadi saya telefon Pengerusi Prasarana, Tajuddin Abdul Rahman yang juga merupakan Ahli Parlimen UMNO dan dia boleh agak apa yang saya nak cakap.

“Beliau mengaku buat kesilapan dalam sidang media mengenai kemalangan LRT,” katanya menerusi hantaran di laman sosial berkenaan.

Najib memberitahu, selain permohonan maaf Tajuddin turut meminta supaya Prasarana menanggung penuh kos perubatan mangsa-mangsa dalam tragedi itu, selain menaikkan jumlah bantuan kewangan kepada yang terlibat daripada RM1,000 kepada satu angka yang lebih memuaskan.

Malah, katanya, Prasarana juga akan membantu mangsa untuk menuntut pampasan daripada Perkeso serta majikan yang mempunyai insurans swasta bagi pekerja.

Tajuddin turut berjanji akan memastikan maklumat siasatan penuh punca tragedi tidak disorok atau melindungi sesiapa serta memastikan menambah baik prosedur operasi standard (SOP) keselamatan akan dilaksanakan secepat mungkin agar tragedi seumpama itu tidak berulang, kata Najib lagi.

Menurutnya lagi, Tajuddin juga berjanji akan meletak jawatan sebaik sahaja Majlis Kerja Tertinggi UMNO mengarahkan semua ahli UMNO untuk meletak jawatan pada masa yang sesuai seperti mana yang diputuskan pada Perhimpunan Agung UMNO beberapa bulan lepas. – MalaysiaGazette