PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

MELAKA – Dakwaan bahawa satu keluarga meninggal dunia akibat pandemik COVID-19 di sebuah rumah di Taman Merdeka di sini seperti yang tular di media sosial hari ini adalah palsu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Afzanizar Ahmad berkata setakat petang tadi, pihaknya tidak menerima sebarang laporan berkaitan insiden itu yang didakwa berlaku di lokasi tersebut.

“Setakat ini, tiada laporan polis diterima berhubung kes kematian akibat COVID-19 seperti yang didakwa dan ditularkan di media sosial.

“Justeru, polis menafikan kejadian berkenaan berlaku di daerah Melaka Tengah dan ia adalah palsu,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Beliau berkata sehubungan itu, pihaknya menasihati orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang berita palsu sehingga menimbulkan kegusaran atau panik kepada orang ramai kerana perbuatan tersebut adalah satu kesalahan dan tindakan undang-undang boleh diambil sekiranya didapati bersalah.

Hari ini tular di WhatsApp dan Facebook gambar serta video berdurasi 20 saat yang memaparkan beberapa petugas dipercayai anggota kesihatan lengkap berpakaian pelindung diri (PPE) mengusung mayat ke dalam sebuah trak polis.

Kejadian itu didakwa melibatkan satu keluarga yang tidak mempunyai simptom jangkitan COVID-19 yang ditemukan mati selepas petugas Kementerian Kesihatan datang ke rumah tersebut selepas mereka tidak hadir janji temu bagi menjalani ujian saringan.

— BERNAMA