worst scenario new Variant of Concern VOC Director-General of Health Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah at a news conference on the Covid-19 updates in the country. PIX: SYAFIQ AMBAK / MalaysiaGazette / 08 MAY 2021. Covid-19 new daily cases
Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Sebanyak 20 kluster baharu Covid-19 dikesan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setakat hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia membabitkan kluster komuniti, tempat kerja, keagamaan, pusat tahanan dan institusi pendidikan swasta berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Kluster baharu menjadikan jumlah kluster keseluruhan setakat ini sebanyak 2,102 kluster.

“Daripada jumlah itu, 1,498 kluster telah tamat, manakala 604 kluster pula masih aktif sehingga hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Antara lapan kluster komuniti baharu itu ialah Jalan Pinang 39, Jalan Wawasan Tanjung, Serom Lima, Jalan Rusa Waha, Sri Sentosa, Telok Kemunting, Kampung Banggol Petaling dan Desa Ranggu.

Sementara itu, tujuh kluster baharu tempat kerja dikesan hari ini, iaitu Beg Berkunci, Persiaran Kuala 2, Selumit, Sri Mahang, Jalan Tahana Industri, Taman Shamelin dan Batu Sepuluh Jalan Gambang.

Selain itu, lima lagi kluster baharu hari ini ialah Tebuk Binjai, Jalan Syawal, Jalan Cenderawasih, DTI Tanah Merah dan Jalan Kolej Yayasan.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham juga melahirkan rasa khuatir terdapat peningkatan tren kluster tempat kerja yang semakin membimbangkan.

“Sejak bermulanya pandemik Covid-19 pada 25 Januari 2020 sehingga 26 Mei 2021, sebanyak 1,085 kluster tempat kerja telah dilaporkan dengan jumlah 129,322 kes.

“Bermula 1 April 2021 sehingga 26 Mei 2021, sebanyak 287 kluster tempat kerja telah dilaporkan dengan jumlah 17,087 kes.

“Daripada jumlah itu, 233 kluster tempat kerja ini adalah masih aktif, melibatkan sejumlah 16,785 kes aktif,” katanya.

Tiga negeri yang melaporkan jumlah kluster tempat kerja tertinggi dalam tempoh ini iaitu Selangor dengan 74 kluster, Johor (53) dan Pulau Pinang (31).

“Analisa terperinci sub-kategori tempat kerja pula mendapati sektor pengilangan melaporkan bilangan kluster yang tertinggi berbanding sub-kategori yang lain, iaitu sebanyak 132 kluster dalam tempoh yang sama.

“Ini diikuti dengan sektor perkhidmatan yang melaporkan 57 kluster (20 peratus),” katanya.

Walaupun kerajaan telah mengumumkan pelaksanaan PKP 3.0 bermula pada 12 Mei 2021 namun tren kluster di tempat kerja masih tidak menunjukkan penurunan ketara.

“Sebanyak 115 kluster tempat kerja dengan 5,392 kes telah dilaporkan di antara 12 Mei 2021 sehingga 26 Mei 2021 di mana lebih separuh daripada jumlah tersebut melibatkan sektor pengilangan (62 kluster, 53.4 peratus).

“Oleh itu, KKM menyambut baik inisiatif Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri memperkenalkan SOP baharu dikenali sebagai Safe@Work.

“Ia bagi mengimbangi kelangsungan operasi perkilangan dengan pengawalan Covid-19 seperti penubuhan pasukan kecemasan Covid-19 oleh pihak syarikat, sanitasi berkala premis, dan memastikan penginapan selesa bagi pekerja,” katanya lagi. – MalaysiaGazette