Mesej mengatakan penjawat awam yang tinggal di Daerah Kuantan untuk tidak dibenarkan berserak ke daerah lain semasa PKPD berkuat kuasa

KUANTAN – Kerajaan Negeri Pahang telah menetapkan semua pejawat awam yang tinggal di daerah Kuantan supaya tidak keluar bertugas meninggalkan daerah ini kecuali mereka yang berkhidmat dalam sektor perkhidmatan penting.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak berkata, arahan itu berkuatkuasa sepanjang tempoh perlaksaanaan Perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKPD) sehingga 7 Jun 2021 bagi mengawal aktiviti keluar masuk.

Terdahulu tular mesej pemakluman bahawa semua penjawat awam yang tinggal di Kuantan tidak dibenarkan bergerak ke daerah lain kecuali bagi mereka yang terlibat dengan perkhidmatan penting seperti kesihatan dan keselamatan sepanjang musim PKPD di daerah Kuantan.

“Kita perlu memahami mengapa proses PKPD dilaksanakan, yang mana tiada individu yang dibenarkan keluar dari daerah dan tiada yang masuk ke dalam daerah Kuantan bagi membendung penularan pandemik Covid-19.

“Walau bagaimanapun ia terkecuali kepada sektor perkhidmatan penting seperti mereka yang terlibat dengan kerja barisan hadapan seperti kakitangan kesihatan dan pasukan keselamatan.

“Jika ingkar mereka boleh dikenakan kompaun di sekatan jalan raya (SJR) di sempadan daerah dan semua ketua jabatan sudah maklum dengan arahan serta peraturan semasa PKPD.

“Jika benar mereka terlalu penting untuk sesuatu jabatan, boleh keluar dengan sekali sahaja dari Kuantan dengan syarat jabatan menyediakan tempat tinggal daerah bertugas sepanjang PKPD berkuatkuasa dan pulang selepas ia tamat.

“Apa yang mereka kurang jelas tentang perkara ini memandangkan semasa musim PKPD, sudah jelas semua jabatan mejalankan proses bekerja dari rumah (BDR)?

Beliau berkata demikian ketika dihubungi MalaysiaGazette bagi mendapatkan pengesahan notis tersebut berikutan ada segelintir penjawat awam  didakwa masih keliru.

Kerajaan Pahang melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) menetapakan hanya 10 peratus pekerja jabatan bekerja secara gilir dan selebihnya bekerja dari rumah sepanjang PKPD. – MalaysiaGazette