Logo UPM

KUALA LUMPUR – Universiti Putra Malaysia (UPM) menafikan dakwaan bahawa Ijazah Doktor Falsafah (PhD) yang dikeluarkannya tidak diiktiraf di luar negara seperti yang didakwa oleh seorang bekas graduannya.

UPM telah mendapat penganugerahan status Swaakreditasi oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) pada tahun 2010 dan telah diberi status autonomi untuk melaksanakan proses akreditasi ke atas semua program akademik yang ditawarkan di peringkat
prasiswazah dan pascasiswazah.

Malah, pihak universiti juga telah menjalankan proses akreditasi bagi kesemua program pascasiswazah Master Sains dan PhD dan telah mendapatkan kelulusan Akreditasi Penuh oleh Senat UPM pada 12 Disember 2013 untuk kesemua bidang pengajian.

Bagi kesemua bidang pengajian tersebut, UPM telah mendaftarkan program Master of Science dengan kod MQA/SWA/0400 dan Doctor of Philosophy dengan kod MQA/SWA/0399 di dalam Daftar Kelayakan Malaysia (MQR) yang diselia oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

“Kaedah penamaan satu program untuk kesemua bidang pengajian ini adalah mengikut praktis di peringkat antarabangsa dan telah dimaklumkan kepada pelajar semasa minggu orientasi,” kata UPM dalam kenyataannya di sini.

UPM menjawab dakwaan bekas graduannya, Saed Jnaidi yang menyatakan PhD yang diterima dari universiti awam itu tidak diiktiraf di luar negara.

Saed dari Palestin berkata, dia memperoleh Phd program Komunikasi Massa itu selepas menamatkan pengajian di UPM pada tahun 2019.

Namun semua terbongkar apabila Phd tersebut belum diakreditasi oleh Kerajaan Malaysia ketika dia memohon visa untuk membolehkannya mendapat tahap orientasi satu tahun di Belanda.

Mengulas lanjut, UPM menegaskan skrol yang diterima graduan berkenaan tertulis sebagai Doctor of Philosophy sahaja, seperti yang bertarikh 9 April 2020 iaitu bukan PhD Komunikasi Massa seperti yang didakwa.

Program Doctor of Philosophy adalah program yang telah mendapat akreditasi penuh dengan kod MQA/SWA/0399.

Merujuk kepada dakwaan bahawa Pusat Jaminan Kualiti (CQA) UPM belum menghantar senarai program ke MQA untuk pendaftaran, UPM menjelaskan, senarai program yang akan dihantar tersebut adalah untuk pendaftaran bidang baru Sarjana PhD mengikut National Education Code (NEC).

Namun, untuk pelajar berkenaan, sekali lagi ditekankan bahawa pendaftaran program beliau adalah program yang telah mendapat akreditasi penuh dengan kod MQA/SWA/0399.

UPM, menurutnya, dari masa ke masa sentiasa membuat penambahbaikan secara berterusan bagi semua program prasiswazah dan pascasiswazah yang ditawarkan dengan mengambil kira perkembangan semasa serta maklum balas daripada pelbagai pihak berkepentingan termasuk pelajar.

”UPM menegaskan bahawa kami sentiasa komited dalam memastikan program akademik yang ditawarkan telah mendapat akreditasi dan kelulusan dari Kementerian Pengajian Tinggi sebelum ditawarkan kepada calon pelajar sama ada dari dalam mahupun luar negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Graduan dakwa PhD UPM tidak diiktiraf di luar negara

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast