Mohamed Shafie BP Mammal

KUALA LUMPUR – Peningkatan kes harian Covid-19 di negara ini dan kenaikan pesakit tahap 4 dan 5 amat merisaukan Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) tambahan pula kes-kes baharu yang melibatkan
tempat kerja dan komuniti juga dilaporkan bertambah.

Memandangkan keadaan semakin serius dan tenat, sudah sampai masa bagi kerajaan mengkaji semula keperluan untuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh.

Presidennya, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, meskipun menghormati alasan dan hujah yang diketengahkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini bahawa PKP menyeluruh tidak dapat dilaksanakan atas pertimbangan ekonomi dan kedudukan kewangan negara, tetapi keadaan semasa semakin mendesak.

”UNI-MLC merayu kerajaan agar melaksanakan dengan segera ‘Lockdown’ menyeluruh di seluruh negara demi kepentingan semua sebagaimana telah dilaksanakan ketika PKP pertama 15 bulan yang lalu.

“UNI-MLC percaya kita tiada pilihan kecuali untuk melaksanakan ‘lockdown’ menyeluruh di seluruh negara bagi menyelamatkan rakyat dan yakin rakyat akan menyokong tindakan tegas ini dengan melakukan sedikit pengorbanan, yang pastinya akan membantu rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini.

Katanya, UNI-MLC percaya dengan gesaan ini kerajaan boleh membenarkan industri yang amat penting seperti makanan dan minuman, kedai runcit dan pasar raya, dan perubatan sahaja untuk beroperasi supaya tidak menjejaskan rantaian bekalan makanan.

Berdasarkan pengalaman ketika PKP 1.0 tahun lalu, pihaknya yakin gesaan yang dicadangkan ini boleh dilaksanakan oleh kerajaan.

”Rakyat dan kerajaan perlu melakukan pengorbanan dan sedikit ‘penjajaran’ dalam gaya hidup supaya kita sama-sama memainkan peranan dan bertanggungjawab untuk mengekang kes-kes baharu dan seterusnya memutuskan rantaian jangkitan Covid-19,” ujarnya.

Pada masa yang sama kerajaan wajar mengadakan pakej rangsangan terbaharu, tahun 2021, untuk membantu rakyat yang terjejas. UNI-MLC yakin kerajaan akan mempertimbangkan kedua-dua pendekatan sekatan menyeluruh dan bantuan kewangan bagi menyelamatkan rakyat dan negara.

”UNI-MLC sekali lagi merayu kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mempertimbangan dengan mendalam gesaan ini untuk melihat perubahan dan impak yang menyeluruh dalam kadar yang segera,” katanya. – MalaysiaGazette