Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman ketika hadir pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 25 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dilaporkan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam.

Menurut laporan TheVibes, Ahli Parlimen Pasir Salak itu ditahan pegawai SPRM di Ibu Pejabat SPRM selepas beliau dipanggil memberi keterangan.

Beliau bagaimanapun dipercayai telah dibebaskan badan siasatan itu.

Tajuddin ditahan ekoran tuduhan dua kes salah guna kuasa.

Butiran pertuduhan tidak lagi diperolehi dan ia dipercayai berkaitan dengan campur tangan Tajuddin dalam urusan operasi Prasarana.

Pada 26 Mei lalu, Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan bersetuju menamatkan perkhidmatan Tajuddin sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana berkuat kuasa serta-merta. – MalaysiaGazette