Keadaan bot nelayan terbalik di Sungai Kuala Muda hari ini.

KEPALA BATAS – Lima nelayan berdepan detik cemas apabila bot yang dinaiki mereka terbalik akibat dipukul ombak besar dalam kejadian di Sungai Kuala Muda di sini hari ini.

Kejadian jam 1.30 petang itu berlaku kira-kira 500 meter dari Pasar Bisik Kuala Muda dan kesemua mangsa nyaris lemas susulan tercampak dalam laut.

Noorzainy.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kejadian menimpa lima nelayan berusia lingkungan 22 hingga 51 tahun itu disedari kumpulan nelayan lain yang kebetulan berada di lokasi.

“Tindakan pantas kumpulan nelayan bergegas ke lokasi kejadian berjaya menyelamatkan kelima-lima mangsa daripada hilang atau lemas.

Lima lelaki berjaya diselamatkan nelayan lain yang berada di lokasi.

“Kesemua mereka tidak mengalami sebarang kecederaan manakala bot yang terbalik berjaya ditarik ke kawasan pantai tidak lama kemudian,” katanya kepada pemberita di sini. – MalaysiaGazette