najmil faiz mohamed aris
Najmil Faiz Mohamed Aris

KUALA LUMPUR – Rakyat dinasihatkan kekal tenang dan patuh kepada arahan kerajaan dalam mengharungi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh sekali lagi.

Exco Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, walaupun keputusan ini sukar dan bukanlah mudah untuk dilaksanakan, namun inilah yang terbaik untuk kita semua.

“Saya berharap agar pihak kerajaan akan terus membantu rakyat sepanjang “total lockdown” ini dengan memanfaatkan Ordinan Darurat agar mengarahkan institusi kewangan serta perbankan memberikan moratorium.

”Kerajaan negeri turut perlu memainkan peranan untuk membantu rakyat sepanjang tempoh “lockdown” supaya rakyat mendapat bantuan yang lebih. Usaha ini tidak boleh diserahkan pada kerajaan pusat semata-mata,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau turut berharap semua pihak mengenepikan perbezaan politik.

”Kita tidak mahu wujudnya isu ‘bantuan terpilih’ dalam agihan kepada mereka yang terjejas. Ini soal kelangsungan hidup rakyat,” ujarnya sambil mencadangkan bantuan seperti i-Sinar dan i-Lestari perlu dilaksanakan untuk membantu rakyat.

Malah Program Imunisasi Covid-19 perlu dipercepatkan agar semua dapat mencapai imuniti kelompok menjelang bulan Jun apabila Pharmaniaga membekalkan hampir 8.2 juta dos vaksin Sinovac.

”Terima kasih kepada pemimpin UMNO khususnya Pak Long Mail @ Dato Seri Ismail Sabri dan Dato Seri Dr. Adham Baba yang mendengar keluhan rakyat.

“Kita kekal tenang dan patuh arahan kerajaan. Kita mampu mengharungi “lockdown” ini sekali lagi,” katanya. – MalaysiaGazette