Ramai pengunjung di Pasar Raya Mydin, Kompleks Bukit Jambul namun tiada pembelian panik.

GEORGE TOWN – Pengalaman mengharungi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu membuat penduduk di bandaraya ini lebih bersedia dengan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh (total lockdown) bermula Selasa depan.

Tinjauan MalaysiaGazette di Pasar Raya Mydin, Kompleks Bukit Jambul di sini mendapati ramai pengguna, namun tiada pembelian panik sebagai persediaan sekatan pergerakan penuh dilakukan.

Pengunjung pasar raya Mydin dilihat mematuhi SOP ketika membeli barang keperluan hari ini.

Orang ramai dilihat melakukan pembelian dalam keadaan tenang selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Menurut Mohd Afiq Mohd Zaid,35, dia hanya membeli barang keperluan rumah seperti biasa dan tiada barang lebih dibeli untuk persediaan total lockdown.

Mohd Afiq.

“Memang setiap kali masuk gaji hujung bulan saya dan isteri akan datang membeli barang rumah dan ini sudah menjadi rutin kami.

“Kita masih boleh keluar seperti PKP lepas jadi saya rasa tidak perlu habiskan wang sekali gus untuk membeli stok barang keperluan kami sekeluarga.

“Ini bukan kali pertama kita berdepan PKP. Sudah setahun kita harungi PKP. Jadi apa lagi yang nak kita panik,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Sementara itu, Tajul Arif Zainol,28, berkata, dia mengambil peluang membeli barang pada hujung minggu memandangkan dia bekerja pada hari biasa.

Tajul memasukkan barang yang dibelinya di pasar raya Mydin, Kompleks Bukit Jambul hari ini.

“Saya kerja Isnin hingga Jumaat, adakalanya balik dah lewat tak sempat nak beli barang membuatkan saya datang hari ini.

“Ini bukan pembelian panik, ini hanya pembelian biasa.

“Memang ramai pengunjung pada hari ini. Kalau kita tengok di luar sana, ramai yang beratur tetapi terkawal kerana pihak pasar raya menetapkan had jumlah pengunjung yang boleh berada dalam ini  pada satu-satu masa,” katanya. – MalaysiaGazette