Gelagat kanak-kanak yang menerima ujian saringan Covid-19 peringkat DUN Paya Jaras secara percuma yang dilakukan oleh petugas Kesihatan Sel Care Selangor ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Dewan MBSA Seri Paya Jaras Tengah, Sungai Buloh, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 26 MEI 2021.

PUTRAJAYA – Malaysia merekodkan seramai 82,341 kanak-kanak dan bayi dijangkiti COVID-19, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Daripada jumlah itu, katanya 19,851 kes melibatkan golongan berusia daripada 0 hingga 4 tahun, 8,237 (5 hingga 6 tahun), 26,851 (7 hingga 12 tahun) serta 27,402 (13 hingga 17 tahun) dan mereka adalah pesakit COVID-19 kategori 1, 2 dan 3.

“Tiada yang di ICU (unit rawatan rapi),” katanya dalam sidang media perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bersama Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin, di sini hari ini.

Bimbang dengan statistik tersebut, Dr Adham menasihatkan ibu bapa atau penjaga untuk bertanggungjawab melindungi golongan berkenaan daripada dijangkiti seperti tidak membawa anak-anak mereka ke tempat yang sesak.

Menurutnya, walaupun tiada peruntukan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang membolehkan kompaun dikenakan kepada ibu bapa yang membawa anak ke tempat sesak, namun kertas siasatan boleh dibuka.

Mengenai jumlah ujian saringan yang dilaksanakan bagi tempoh 23 hingga 29 Mei, beliau berkata sebanyak 774,863 individu di seluruh negara menjalani ujian tersebut dengan 53,419 individu didapati positif COVID-19.

Berikutan situasi peningkatan mendadak kes baharu ketika ini, Dr Adham berkata pihaknya bercadang memperluaskan ujian saringan menggunakan kaedah Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen dengan bantuan kerajaan negeri.

“KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) akan meningkatkan ujian saringan bagi kontak rapat khususnya di Lembah Klang dengan mewujudkan pusat-pusat pensampelan dalam komuniti,” katanya.

Bagi meningkatkan pengesanan kes positif COVID-19 dalam komuniti, beliau berkata pihaknya akan meningkatkan pemantauan ke atas semua kes bergejala yang mendapat rawatan di fasiliti kesihatan KKM serta mereka yang mempunyai sejarah penyakit komorbid tanpa mengira usia.

Dr Adham turut melahirkan kebimbangan terhadap risiko kematian akibat COVID-19 iaitu 0.45 peratus atau 45 pesakit daripada 10,000 kes positif berhadapan risiko kematian berdasarkan kadar yang direkodkan ketika ini.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast