Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Kerajaan memperuntuk sebanyak RM40 bilion bagi pakej rangsangan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa+).

Inisiatif bagi meredakan cabaran pelaksanan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lebih ketat mulai esok sehingga 14 Jun ini.

Jumlah itu, kata Perdana Menteri, adalah lebihan RM100 bilion daripada RM340 bilion yang diperuntuk bagi pelbagai pakej bantuan dan rangsangan ekonomi yang dilaksanakan sebelum ini.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jumlah RM40 bilion itu melibatkan suntikan langsung fiskal kerajaan sebanyak RM5 bilion.

Pemerkasaan+ melibatkan sebanyak 12 inisiatif dengan tiga matlamat utama iaitu mempertingkatkan kapasiti awam, meneruskan agenda prihatin rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan.

Menurutnya, kerajaan akan menambah peruntukan RM1 bilion bagi meningkatkan kapasiti dan mengukuhkan kesihatan awam bagi memastikan sistem itu tidak runtuh dan beroperasi secara berkesan.

Untuk itu, sejumlah RM450 juta diperuntuk bagi meningkatkan kapasiti katil dan peralatan unit rawatan rapi bagi pesakit Covid-19.

Peruntukan itu membabitkan hospital-hospital Kementerian Kesihatan, hospital pengajar universiti awam dan hospital medan Angkatan Tentera Malaysia di Sabah dan Sarawak.

Selain itu penyumberan luar juga akan dilaksanakan kepada hospital swasta.

Kerajaan juga memperuntuk RM550 juta untuk pertambahan kos operasi dan pengurusan dalam menangani krisis Covid-19 termasuk ubat, reagen untuk daringan dan lantikan pegawai secara kontrak.

Ini termasuk kos pengoperasian Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 di MAEPS dan peringkat negeri.

Kerajaan juga melanjutkan tempoh perkhidmatan lebih 14,000 pegawai perubatan dan jururawat lantikan kontrak sedia ada sehingga tahun depan.

Malah, sebanyak 500 petugas kesihatan yang bersara wajib tahun ini juga akan dilantik secara kontrak. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Lock down 2 minggu, bagi org bujang $100? ko cerita apa ni? Ko kat rumah makan $100 selama 2 minggu kaaaa???

Comments are closed.