Presiden Kongres Keadilan India Malaysia (KKIM), Shanmugam Ramiah

KUALA LUMPUR – Tatkala negara sedang bergelut dengan penularan Covid-19 kenapa Majlis Perbandaran Klang (MPK) mahu menukar nama Padang Chetty kepada Dataran Perbandaran Klang?

Itu persoalan dan dakwaan Presiden Kongres Keadilan India Malaysia (KKIM), Shanmugam Ramiah dengan tindakan MPK yang dikatakan mahu menukar nama satu lokasi di kawasan di Little India itu kepada nama baharu.

“Saya sungguh tidak faham dan terkejut lagi-lagi ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan kita sedang bergelut melawan Covid-19, apa yang sahaja yang menjadi kepentingan pada masa ini hanyalah satu, lawan virus ini.

“Tetapi lain pula yang terjadi, apa kepentingan untuk menukar sesuatu yang sudah menjadi warisan sejarah hampir atau lebih 100 tahun ini? Nama ini begitu sinonim dengan Little India yang bukan sahaja di kunjungi oleh masyarakat India setempat sebaliknya pelancong dunia juga amat tertarik dengan lokasi ini,” katanya hari ini.

Menurut Shanmugam, Padang Chetty ini dahulunya sungguh terkenal sebagai pusat kegiatan anak-anak muda bermain hoki, bola sepak dan kriket.

“Nama Padang Chetty ini sebenarnya berasal dari rata-rata penduduk dalam kalangan Chettiyar yang mendiami tempat itu, untuk makluman pihak MPK jika anda tidak tahu sangat, padang ini juga adalah tinggalan sejarah dari segi ekonomi, budaya malah telah banyak melahirkan ramai jaguh sukan.

“Pelik lagi ajaib apabila tindakan ini juga dilakukan ketika musim PKP, adakah ini satu kepentingan dan satu keperluan mendesak ketika ini?,” katanya lagi.

Media sebelum ini melaporkan cadangan MPK mahu menukar nama Padang Chetty di Bukit Jawa dalam kawasan Little India Klang kepada nama baharu, Dataran Majlis Perbandaran Klang mendapat pelbagai reaksi negatif rata-rata dalam kalangan masyarakat India.

Kata Shanmugam lagi, Selangor yang ketika ini diperintah oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) terutamanya PKR sentiasa melaungkan bagaimana mereka mementingkan kebajikan serta perjuangan masyarakat India.

Dalam pada itu, kata Shanmugam lagi, adalah lebih baik MPK melaksanakan perkara-perkara berkaitan dengan kesihatan dan kebajikan rakyat serta penyelesaian penularan Covid-19 yang semakin menggila di Selangor terutamanya.

“Angka di Selangor tinggi dan semakin tinggi, tidak ada tanda-tanda ianya akan berkurangan dalam masa terdekat ini, kita perlu utamakan itu dahulu, tukar-tukar nama ini kita fikir dan bincang kemudian, tolonglah,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast