Kerajaan Gagal criticise government Saifuddin Abdullah
Saifuddin Abdullah

KUALA LUMPUR – Menyedari bahawa penggiat seni turut terkesan dengan Covid-19, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), hari ini menawarkan Dana Kandungan
Digital Muzik (DKD Muzik) 2021 bagi program Hiburan Dari Rumah (HDR).

Menurut menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah, dana itu diperuntuk bagi menghasilkan kandungan kreatif dalam program HDR yang akan melibatkan penyertaan artis pelbagai peringkat.

“Mereka adalah dari kategori artis rakaman lama dan baharu, penyanyi dan pemuzik kelab hiburan, penyanyi dan pemuzik busker, ahli kumpulan nasyid dan lain-lain dari seluruh negara, merangkumi pelbagai peringkat umur dan genre muzik.

“Penerbitan kandungan kreatif Hiburan Dari Rumah yang dihasilkan perlu mempunyai unsur muzik dan berkonsepkan muzik dari rumah, bersesuaian dengan situasi pandemik pada ketika ini,” katanya ketika menyerahkan secara maya surat tawaran Dana Kandungan Digital Muzik (DKD Muzik) 2021 bagi Program Hiburan Dari Rumah hari ini.

Saifuddin berkata, kesemua 960 penerima itu dipilih oleh 29 ahli panel pemilih yang dilantik KKMM.

Mereka yang terdiri daripada penggiat industri muzik mewakili artis rakaman, penyanyi dan pemuzik kelab hiburan serta penyanyi dan pemuzik jalanan (Busker) telah dilantik sebagai Ahli Panel Jawatankuasa Pemilihan Artis untuk menyaring lebih 3,600 artis yang memohon.

“Yang tidak diangkat sebagai penerima mungkin ada kategori lain dan berbeza daripada tawaran kali ini,” jelas Saifuddin.

Mereka ini terdiri daripada 487 penyanyi, 172 pemain gitar, 104 pemain bass, 93 pemain dram, 80 pemain keyboard dan 24 lain-lain instrumen.

Setiap artis akan menerima tawaran dana sebanyak RM5,000 berdasarkan tugasan yang telah ditetapkan oleh 12 syarikat berkenaan.

Penerima-penerima bagi DKD Muzik 2021 hari ini adalah penyanyi popular, Francissca Peter, Datuk Nashruddin Elias (Nash), kumpulan nasyid Hijjaz, kumpulan Estranges, Atilia dan ramai lagi.

Untuk rekod, DKD Muzik merupakan antara dana yang diperuntukkan di bawah inisiatif Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA) yang telah dilancarkan pada 5 Februari lalu.

Ia sebagai langkah jangka pendek untuk memastikan kelangsungan para penggiat industri kreatif negara yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Saifuddin turut berkata sejumlah RM89.2 peruntukan akan disalurkan tahun ini bagi membantu 9,000 pemain industri muzik.

Ia juga mampu beri peluang pekerjaan kepada 4,000 individu dalam bidang permainan digital, animasi dan muzik. – MalaysiaGazette