Reaksi ibu panda gergasi Liang Liang yang kelihatan termenung selepas anaknya Nuan Nuan yang kini berusia dua tahun dihantar pulang ke negara kelahiran kedua ibu bapanya di Pengakalan Panda Dujiangyan, Sichuan, China ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Zoo Negara, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 14 NOVEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Panda gergasi, Liang Liang selamat melahirkan seekor anak lekira-kira pada jam 8.30 malam tadi di Pusat Konservasi Giant Panda, Zoo Negara.

Kelahiran anak ini merupakan kali ketiga bagi Liang Liang (panda betina) dan pasangannya Xing Xing (panda jantan) sejak berada di Malaysia pada tahun 2014.

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berkata, anak pertama dan kedua iaitu Nuan Nuan dan Yi Yi dilahirkan masing-masing pada 18 Ogos 2015 dan 14 Januari 2018.

Pada masa ini jantina anak panda ini masih belum dapat dikenalpasti kerana ianya masih di bawah jagaan rapi ibunya dan tidak dapat didekati.

Petugas Zoo Negara akan terus memantau dan mengawasi Liang Liang dan anaknya bagi tempoh 24 jam.

Kelahiran anak Giant Panda kali ketiga ini merupakan satu lagi kejayaan kepada usaha konservasi Giant Panda di bawah Program Kerjasama Antarabangsa Konservasi Giant Panda antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan China yang dimeterai pada tahun 2012. – MalaysiaGazette