Shamsul Anuar Nasarah

KUALA LUMPUR – Tiada pemotongan bekalan elektrik dilaksanakan kepada pengguna domestik yang mempunyai tunggakan bil elektrik tidak melebihi enam bulan sepanjang tempoh 1 Januari sehingga 31 Mac 2021.

Pengguna-pengguna domestik juga turut ditawarkan Pelan Bayaran Mudah selama enam bulan mulai 1 Januari sehingga 30 Jun 2021 bagi membantu menguruskan bil elektrik mereka.

Menteri Tenaga Dan Sumber Asli, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, inisiatif ini diperkenalkan bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat berikutan penularan pandemik Covid-19 di negara ini.

”Mengambil kira keperluan untuk meneruskan usaha membantu rakyat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini, kerajaan dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad akan memastikan tiada pemotongan bekalan elektrik dilaksanakan di rumah-rumah kediaman yang mempunyai tunggakan tidak melebihi enam bulan sehingga 30 Jun 2021.

”Bagi membantu pengguna domestik menguruskan pembayaran bil elektrik mereka, Pelan Bayaran Mudah juga turut dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021,” katanya dalam kenyataan di sini.

Melalui pelaksanaan inisiatif ini, katanya, dianggarkan seramai 6.96 juta pengguna domestik di Semenanjung Malaysia memperoleh manfaat tersebut dan diharapkan
inisiatif ini akan dapat membantu memelihara kesejahteraan hidup rakyat dalam keadaan ekonomi yang mencabar pada masa ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast